Zapin bertingkah Noraniza

 

PERSATUAN Belia Kota Gagasan menganjurkan sebuah pertandingan zapin secara pertarungan iaitu Akar Kita Zapin 2012 bagi merebut Piala Pusingan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang dibawakan oleh kementerian terbabit.

Pertandingan berkenaan juga sekali gus akan merebut gelaran Ikon Berkumpulan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dibawakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dan berakhir hari ini (29 Disember) terbuka kepada seluruh warga Malaysia berumur 15 hingga 40 tahun.

Julung kali dianjurkan, pertandingan berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia dan disokong dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN).

Ia dikendalikan oleh Akademi Tatihseni Malaysia, Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd dan Sekretariat Masyhur 1Malaysia.

Pemangku Pengarah Kanan Sektor Dasar dan Penyelarasan JKKN, Che Kassim Mahmud berkata, usaha mengadakan pertandingan Akar Kita Zapin adalah satu pendekatan istimewa sesuai dengan aspirasi JKKN bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudaya berteraskan gagasan 1Malaysia.

“Sesuai dengan misi JKKN dalam usaha mengekal dan memulihara seni budaya pertandingan ini juga dapat mengembangkan kebudayaan dan kesenian melalui usaha memupuk, membimbing rakyat dan menyemarakkan seni budaya.

“JKKN mendukung usaha Noraniza Idris yang buat pertama kalinya zapin dipertandingkan dalam bentuk zapin bertingkah atau ‘battle’. Pertandingan ini pasti menarik minat anak-anak muda kerana pendekatan yang agresif dan dinamis bersesuaian dengan perkembangan seni global,” katanya.

Sebanyak 12 kumpulan kebudayaan dan kesenian dari Sabah, Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu, Johor dan Perlis sudah mendaftar dan bersetuju mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Pertandingan akan dibahagikan kepada dua segmen iaitu persembahan dan tingkah geruh berkumpulan.

Kategori pemenang adalah juara, naib juara, tempat ketiga dan Anugerah Khas Juri untuk kategori berkumpulan yang membawa pulang wang tunai RM5,000, RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 setiap satu berserta trofi iringan dan sijil.

Manakala kate­gori pemenang individu lelaki, wanita, koreografer serta busana terbaik akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM500 ,trofi iringan serta sijil setiap satu.

Piala Pusingan disandang juara keseluruhan yang me­ngekalkan kedudukan juara selama tiga tahun berturut-turut.

Manakala Piala Ikon Berkumpulan Datuk Bandar Kuala Lumpur disandang kumpulan pilihan juri yang menepati kriteria melalui komitmen, disiplin dan indikator (posture, gesture, beat, feel dan groove) sebagai sebuah kumpulan yang boleh mewakili jenama Tatihseni.

Acara pembukaan panggung malam berkenaan akan disempurnakan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Program kemudian diteruskan dengan persembahan pembukaan oleh Artis Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang akan mengiringi persembahan artis baru, Ihab Ismail, yang juga artis pertama di bawah naungan Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd.

Pada program itu, Ihab Ismail mempersembahkan single terbaru ciptaan dan lirik yang ditulis sendiri berjudul Selamat Datang duet bersama Noraniza Idris.

Selain itu, persembahan khas monolog oleh novelis Rahimah Muda dan teater pendek perjuangan bangsa melalui lagu Anak Kecil Main Api, Berakar Teguh

Berakal Canggih turut diserikan de­ngan kehadiran ramai artis.

 

Author: 
Syanty Octavia Amry
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Wednesday, December 26, 2012