Tiga kampung jayakan PMS Sepang

Atas kesedaran tentang kepentingan budaya tradisional, penduduk tiga buah kampung di sini iaitu Kampung Baru Lanjut, Kampung Giching dan Kampung Salak Tinggi mengadakan Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) peringkat daerah Sepang baru-baru ini.

 

Pelbagai aktiviti diadakan dalam program tersebut seperti memasak beramai-ramai dan pertandingan karaoke sebelum acara kemuncak iaitu jamuan rakyat.

 

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Selangor, Rosman Osman berkata , penduduk dari ketiga-tiga kawasan tersebut mula berkampung di pekarangan Dewan Serbaguna Kampung Baru Lanjut pada Jumaat lalu untuk menyediakan jamuan rakyat yang diadakan pada keesokannya.

 

Katanya, Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Sepang, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed turut hadir dan beramah mesra dengan penduduk dari tiga kampung itu.

 

"Beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek, Datuk Yap Ee Wah kemudian menyertai jamuan rakyat yang disediakan secara gotong-royong itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini baru-baru ini.

 

Menurut Rosman, Sepang merupakan destinasi keempat di Selangor yang dipilih untuk mengadakan PMS sejak aktiviti itu diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2006.

 

"Sebelum ini, PMS telah diadakan di Seri Setia, Subang Jaya dan Cyberjaya.

 

"Aktiviti ini bertujuan memupuk semangat kerjasama di kalangan masyarakat untuk bersama-sama memelihara dan memulihara seni budaya tradisi," katanya.

 

Beliau berkata, PMS tidak terhad kepada penduduk di kampung atau sesuatu kawasan perumahan sahaja tetapi turut diadakan di kawasan program perumahan rakyat (PPR) dan institusi pengajian tinggi (IPT).

 

"PMS yang dijalankan di seluruh negara diharapkan dapat menyemarakkan semula aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri rakyat, sukan rakyat dan gotong-royong khususnya di kalangan generasi muda.

 

"Penerapan aktiviti seni dan budaya di peringkat akar umbi menyumbang secara langsung kepada pembentukan jati diri dan bangsa," katanya.

 

Sementara itu, Mohd. Zin dalam ucapannya menasihatkan penduduk supaya mengamalkan budaya berjimat-cermat sebagai persediaan untuk menghadapi krisis makanan sedunia dan kenaikan harga minyak global.

 

"Kita perlu mengambil iktibar daripada perkembangan semasa khasnya ketika dunia menghadapi krisis makanan dan kenaikan harga minyak," katanya.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, April 26, 2012