Tarian Batu Tumbuk Cuit Hati Penonton Sempena Inspitari 2015

 

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Siapa sangka batu lesung yang digunakan para ibu di dapur untuk menumbuk cili dan bawang boleh dijadikan sebagai tarian kreatif tradisional yang mencuit hati!.

Tarian menghiburkan yang digelar 'Tarian Batu Tumbuk' itu dipersembahkan oleh 16 penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor sempena program Inspitari 2015 anjuran JKKN, selama dua hari bermula semalam di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini.

Pencetus idea tarian baharu itu Muhammad Muhaldin Jamin, yang merupakan pereka tari JKKN Selangor berkata beliau terdengar perbualan anaknya yang mengajukan soalan mengenai kegunaan batu lesung tatkala terlihat ibunya sedang menumbuk cili.

"Isteri saya menjawab secara ringkas sambil menunjukkan pergerakan menumbuk cili dengan betul dan bermula daripada pergerakan itulah idea untuk menjadikannya sebagai tarian rakyat tercetus," katanya kepada Bernama, di sini, baru-baru ini.

Muhammad Muhaldin berkata tarian aktiviti masyarakat desa yang julung kali diperkenalkan di Malaysia itu mempamerkan teknik pergerakan dan peranan menumbuk batu lesung yang disesuaikan mengikut rentak dan irama lagu tradisional yang rancak.

"Penari lelaki memainkan watak sebagai suami yang bekerja sebagai petani dan membawa pulang hasil bertani iaitu cili untuk dimasak oleh si isteri (penari wanita) di rumah.

"Saya juga turut menyelitkan unsur humor seperti adegan suami mengusik si isteri yang sedang menumbuk cili bagi menambah kemeriahan serta menimbulkan suasana kasih sayang dan harmoni dalam keluarga," tambahnya.

Melalui tema 'Memperkaya Koleksi Tari Kreasi Baru', Inspitari 2015 menampilkan 16 karya tarian yang diolah semula dan tarian ciptaan baharu yang lebih dinamik dan menarik dari segi pergerakan, susunan lagu serta busana tarian hasil kajian terperinci oleh setiap Kumpulan Kesenian JKKN dari seluruh negeri.

Program ini dianjurkan bagi memperbanyakkan koleksi tarian baharu yang unik, dan menonjolkan identiti tempatan di samping menggalakkan kreativiti para koreografer dan penari dalam menggarap karya yang lebih kreatif tetapi masih mengekalkan identiti negeri masing-masing.

Inspitari 2015 yang memasuki tahun keenam penganjurannya, setakat ini memperkenalkan 96 tarian yang walaupun bersifat komersial, tetapi ia masih mengekalkan keaslian dan disiplin dalam memastikan ia menarik serta mengikut peredaran zaman.

Kumpulan Kesenian lain yang terlibat ialah JKKN Ibu Pejabat (Joget Jengket dan Tari Gong); JKKN Perlis (Tarian Lenggang Harum Manis); JKKN Kedah (Tabi Gobek); JKKN Pulau Pinang (Zapin Parsi); JKKN Perak (Bubu Kert); JKKN Kuala Lumpur (Rou You Gang); dan JKKN Negeri Sembilan (Monang Kobau).

Kumpulan lain, termasuk JKKN Melaka (Tari Sari Lintang); JKKN Johor (Tari Gema Daksina); JKKN Pahang (Kurichak); JKKN Terengganu (Mek Awang Tiruk); JKKN Kelantan (Tari Garong) dan JKKN Sabah (Rampakan) dan JKKN Sarawak (Totokne Panglima).

-- BERNAMA

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Sunday, November 8, 2015