Syafinaz Tunjuk Belang Dengan Raja Mak Yong

 

KUALA LUMPUR, 26 NOV 2013: Konsert Koir Kebangsaan Malaysia yang telah berlangsung pada 23 dan 24 November lalu nampaknya telah meninggalkan impak tersendiri terutama sekali apabila membabitkan penyanyi popular Syafinaz Selamat.

Telah berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman, PusatPelancongan Malaysia (Matic), Syafinaz telah beradu suara dengan raja Mak Yong tanah air, Rosnan Rahman dalam satu persembahan istimewa menerusi lagu Mengadap Rebab.

Memantapkan lagi persembahan paduan suara dua genre berbezaitu dengan kemunculan Koir Kebangsaan Malaysia yang menjadi tarikan utama dua malam berkenaan.

Bagaimanapun jangan salah anggap,  kerana itu bukan konsert Syafinaz, sebaliknya penyanyi yang terkenal dengan vokal soprano itu hanyalah bertindak sebagai artis  undangan selain tugas pentingnya untuk kedua-dua malam berkenaan iaitu  Pengarah Artistik dan Vokal konsert.

Pengarah Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN),Datuk Norliza Rofli yang turut hadir menyaksikan persembahan berkenaan berkata, ianya merupakan percubaan yang boleh dianggap berjaya tanpa menjejaskan aspek keaslian lagu berkenaan.

“Mengadap Rebab dengan sentuhan koir membawa nafas baru yang diharap dapat terus menarik minat generasi muda untuk mengenali Mak Yong.

“Tahniah Syafinaz dan Rosnan. Syabas untuk semua yangterbabit dalam konsert ini termasuk pihak JKKN sendiri. Sesungguhnya konsertini menyentuh emosi semua yang hadir.  

“Seleksi lagu yang dipilih dari zaman dulu hingga kini penuh nostalgia tersendiri. Ada suka ada duka. Penuh kelucuan dan berbangkit harapan.

“Ia merentasi sempadan bahasa, usia dan bangsa. Saya amat bangga dengan penganjuran konsert ini kerana berani meneroka lagu teater dan filem tak kira tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater dan Filem merupakan kerjasama  Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) dalam mempelbagaikan medium seni hiburan.

Dipentaskan selama satu jam 30 minit,   konsert berkenaan ternyata membuai emosi penonton yang hadir dengan alunan lagu teater muzikal dan filem popular antarabangsa seperti West Side Story, Evita, Pretty Woman, Dreamgirls, Sound Of Music, Oliver kepada irama tempatan penuh mempesona.

Bayangkan apabila lagu Sandarkan Pada Kenangan, SedetikLebih, Puncak Tertinggi dan Asmaradana, Pulangkan, Ombak Rindu didendangkan secara koir, ia memberi dimensi tersendiri dalam gaya penyampaian sesebuah lagu.

Penutup konsert  menampilkan lagu Balleilakka yang dipetik daripada filem Sivaji The Boss juga membuatkan penonton seperti mahu berjoget sama.

Selain Syafinaz dan Rosnan, turut sama diundang memeriahkan konsert ialah kumpulan Memento dan Vox Aurora.

Teks oleh Haswari Ali

Email: ayie@astro.com.my

Author: 
Haswari Ali
Akhbar: 
murai.com.my
Publish date: 
Tuesday, November 26, 2013