Semarakkan Pesta Chenor

MARAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memuji usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) atas inisiatif yang diambil dalam penganjuran Pesta Chenor yang telah diadakan kali pertama Mei tahun lalu.

“Chenor tempat bertuah kerana diberi perhatian Kerajaan Pahang untuk mengadakan pesta ini kali kedua.

 

“Saya juga amat menggalakkan dan mengharapkan ia diteruskan serta dipelbagaikan lagi terutamanya menjadikan Sungai Pahang sebagai lokasi penganjuran aktiviti sukan.

“Menerusi Pesta Chenor, anak-anak muda dapat menampilkan bakat menerusi pelbagai atur cara program,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Pesta Chenor di Bandar Lama Chenor, di sini, hari ini.

Baginda bertitah, Pahang berjaya menarik 14.8 juta pengunjung ke negeri ini tahun lalu, jumlah itu termasuklah dengan adanya pelbagai program dan acara yang berjaya menarik puluhan ribu pengunjung seperti Pesta Chenor.

“Program seumpama ini memberi kesan begitu besar bagi masyarakat Chenor khasnya penduduk bagi mempamerkan produk dan bakat yang mereka ada.

“Antara projek yang saya mahu diberi penekanan adalah berkaitan sungai... kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan harus beri keutamaan kepada projek yang kecil walaupun berkenaan pembinaan jambatan,” titah baginda.

Dalam ucapannya, baginda juga mahu masyarakat di sini memikirkan produk yang mahu ditampilkan seperti tempat penginapan atau homestay, tempat makan dan produk setempat seperti buah-buahan yang boleh dijadikan tarikan pelancong.  

“Jadikan ia tarikan setiap kampung sekali gus menggalakkan agro tourism di daerah ini dan negara kita,” katanya.

Titah baginda, jika projek kecil dalam negeri diberikan tumpuan ia pasti akan menjadi tumpuan pelancongan.

Apatah lagi katanya, Chenor mempunyai banyak lokasi menarik yang berpotensi menjadi daya penarik seperti Sungai Pahang, Air Terjun Teladas dan sebagainya.

Author: 
NOR KHALILAH GUSTI HASSAN
Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Sunday, April 29, 2018

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA