Semarak seni budaya norma baharu

Semarak seni budaya norma baharu

Ridzuan Abdul Rahman

 

PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia membuatkan banyak aktiviti seni budaya merangkumi penyemarakan, pemeliharaan dan pemuliharaan terpaksa dibatalkan.

Paling terkesan ialah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian (JKKN) Sabah yang harus mengehadkan aktiviti budaya mereka akibat penularan Covid-19 yang amat serius.

Sekali gus perancangan mereka untuk mengadakan pelbagai aktiviti secara fizikal seni budaya, merangkumi peringkat kampung, daerah, negeri dan kebangsaan juga terkesan dan terpaksa ditangguhkan atas nasihat serta saranan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarahnya, Jasmi Rasit berkata, kesan daripada wabak ini turut menjejaskan sumber pendapatan penggiat seni budaya yang menjalankan aktiviti seni budaya secara separuh dan sepenuh masa.

"Justeru, bagi meneruskan aktiviti semarakkan seni budaya di seluruh negeri, JKKN Sabah sudah mengadakan pelbagai program berkonsepkan norma baharu menerusi dalam talian (online) sama ada secara langsung mahupun rakaman.

"Program ini sudah disiarkan di platform media sosial JKKN Sabah seperti Facebook dan YouTube dan sambutannya didapati sangat menggalakkan.

"Kini, JKKN Sabah juga mengadakan program dikenali Live@JKKN Sabah yang berbentuk bual bicara pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 11.30 pagi yang disiarkan secara langsung di Facebook JKKN Sabah," katanya.

Menurut Jasmi lagi, keunikan yang ingin dipaparkan dalam program itu ialah perkongsian ilmu dan maklumat mengenai seni budaya khususnya di Sabah.

"Program Live@JKKN Sabah juga bertujuan untuk menyebarluaskan maklumat seni budaya dengan menggunakan konsep teknologi digital.

"Golongan penggiat seni, aktivis, tokoh seni, pensyarah dan pakar rujuk seni budaya akan diundang bagi berkongsi pengalaman, pendapat dan menjawab persoalan daripada pengunjung Facebook Live@JKKN Sabah mengenai isu seni budaya yang dibincangkan pada hari berkenaan.

"Selain itu, program Live@JKKN Sabah juga turut mempromosikan produk seni budaya berbentuk bahan terbitan, makanan tradisional, kraf tangan dan sebagainya," katanya.

Menariknya program ini boleh ditonton dan disertai secara interaktif bukan sahaja untuk penduduk di Sabah, tetapi meliputi seluruh rakyat Malaysia yang ingin mengetahui keunikan seni dan budaya yang terdapat di negeri terbabit.

Bagi program penyerlahan bakat dalam tarian, muzik, nyanyian, lakonan dan deklamasi puisi, JKKN Sabah juga mengadakan program dalam talian dikenali Konsert Bakat Online yang disiarkan secara langsung pada setiap Sabtu jam 9 malam.

"Penyertaan bakat-bakat yang dikumpulkan bukan sahaja tertumpu kepada penduduk negeri Sabah, malah terbuka buat seluruh rakyat Malaysia bagi menyerlahkan bakat masing-masing.

"Setiap penyertaan tidak dikenakan bayaran dan peserta hanya perlu menghantar rakaman video persembahan yang berdurasi kurang lima minit melalui e-mel jkknsabah@gmail.com atau aplikasi telegram 01165630188.

"Setiap video persembahan yang mengikut syarat dan terpilih akan disiarkan dalam Konsert Bakat Online," katanya.

Jasmi berkata, program ini bertujuan untuk menggalakkan seluruh rakyat Malaysia berkarya menggunakan platform digital dalam pengamalan norma baharu.

"Program ini sudah berlangsung sebanyak empat minggu dengan 50 penyertaan dari seluruh Malaysia yang memaparkan bakat-bakat yang unik dan menarik.

"Kami masih menerima penyertaan dan syarat-syarat penyertaan boleh didapati di Facebook JKKN Sabah atau boleh menghubungi JKKN Sabah. Harapannya, semoga platform yang disediakan ini dapat memberi ruang dan peluang kepada penggiat seni, aktivis dan seluruh rakyat Malaysia memanfaatkan dengan sebaiknya," katanya.

Jasmi mengharapkan semua golongan masyarakat dapat meluangkan masa menonton dan berinteraksi di dalam program atas talian JKKN Sabah bagi memastikan seni dan budaya di Sabah dan Malaysia amnya akan terus disemarakkan dan terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 6:25 AM
 
Author: 
Ridzuan Abdul Rahman
Akhbar: 
Harian Metro Online
Publish date: 
Monday, December 7, 2020

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA