Satria Menara Putih gubahan seni sastera

Satria Menara Putih gubahan seni sastera

    SEMARAK Bangsawan 2017 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) kembali dengan pementasan keduanya tahun ini, bangsawan Satria Menara Putih dari kumpulan produksi Perkumpulan Seni Singapura.

    Pemilihan produksi ini bertujuan memartabatkan seni budaya dalam kalangan  negara serantau sebagai usaha memelihara serta meningkatkan kecintaan generasi kini terhadap bangsawan.

    Kolaborasi antara  Malaysia dan Singapura ini diharap dapat memberi impak lebih positif kepada pembangunan seni bangsawan.

     
     
     

    Bangsawan Satria Menara Putih yang pernah dipentaskan di Singapura pada Februari, kini dipentaskan semula di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 21 hingga 23 Julai lalu dengan  menampilkan lebih 30 pelakon berbakat dari Singapura.

     

    Naskhah adaptasi filem popular, The King Athur yang cukup terkenal seantero dunia ini diolah semula untuk disesuaikan dengan gaya penceritaan bangsawan yang lebih menghiburkan.

    Lebih menarik, karya ini mendapat sentuhan penulis skrip Samsudin Said yang tampil dengan ide menarik menerusi penggunaan bahasa indah dan seni sastera tinggi yang diadun cukup sempurna.

    Sepanjang tiga hari pementasan, ramai penonton mengakui tertarik dengan dialognya bermula watak utama hingga kepada satria dan dayang  istana.

    Setiap kali permulaan babak turut ditampilkan dengan gurindam yang sangat indah sebagai perantara menceritakan kisah yang bakal berlaku dalam babak seterusnya.

    Elemen yang ditampilkan ini ternyata menyerlahkan kembali keistimewaan seni bangsawan yang sebelum ini semakin dilupakan seiring dengan perubahan era moden.

    Mohamed Ihsan Ali, aktivis teater terkenal Singapura yang juga pengarah menyifatkan pementasan bangsawan Satria Menara Putih ini dilakukan dengan penuh ketelitian untuk dipersembahkan kepada penonton.

    “Meskipun ia pementasan semula dan kali ketiga dipentaskan, saya sebagai pengarah tetap memberi tumpuan kepada setiap aspek dengan penuh teliti tanpa lolos sebarang kelemahan yang boleh menjejaskan pementasan.

    “Tidak hanya kepada jalan cerita dan aspek lakonan semata-mata, tapi saya ambil kira semua perkara biarpun nampak kecil di mata orang lain.

    “Bagi saya apabila kita mementaskan persembahan bangsawan, terlalu banyak perkara yang perlu kita beri perhatian supaya keindahan persembahan itu terserlah. Di situlah letaknya keistimewaan dan perbezaan bangsawan dengan pementasan lain,” tegasnya yang berpengalaman luas dalam persembahan seni pentas.

    Pertahankan elemen indah persembahan bangsawan

    Atas sebab mementingkan kesempurnaan, persiapan pementasan berlangsung hampir setahun dan jadual latihan bermula lebih awal untuk memastikan semua yang terlibat bersedia serta memahami peranan mereka.

    Walaupun tempoh setahun agak lama untuk pementasan berskala sederhana namun Ihsan menganggap persiapan itu perlu kerana banyak aspek yang mesti diberi perhatian.

    “Dari aspek lakonan mungkin tak sukar kerana kita ada ramai pelakon yang baik tapi tak semestinya mampu mendapatkan nada bangsawan yang tepat jika dia tak berlatih dengan sebaiknya.

    “Saya tak mahu pelakon sekadar berdialog dalam bual biasa sebagaimana lakonan mereka dalam medium lain . Ini kerana skrip bangsawan itu sangat indah dengan seni sasteranya yang cukup tinggi.

     “Lontarannya perlu dilakukan dengan nada dan lenggok yang betul untuk menyerlahkan keindahannya,” katanya lagi.

    Berkongsi cabaran sepanjang pementasan ini, kata Ihsan, bukan mudah untuk menganggap sebuah karya adaptasi dari barat tanpa menjejaskan naskhah asalnya, namun pada masa yang sama cuba menampilkan kelainan.

    “Kita memang tahu karya dari barat ini juga hebat dan ceritanya sudah terkenal di mana-mana, jadi apabila adaptasi kita harus berhati-hati agar tidak menjejaskan keasliannya dan itulah yang menjadi cabaran saya dan rakan-rakan,“ jelas Ihsan.

    Kata Ihsan, tanpa mengubah jalan cerita asal, dia memasukkan beberapa elemen bangsawan untuk menguatkan lagi penyampaian cerita tetapi mengakui bukan perkara mudah kerana boleh menjejaskan pementasan.

    “Ada beberapa babak yang kita ubah termasuk babak kemuncak yang kita ada, buat sedikit twist dengan menggunakan kreativiti untuk menampakkan babak tersebut lebih realistik tanpa perlu menggunakan pelbagai kesan khas,” terangnya lagi.

    Selain itu, katanya, durasi pementasan di Kuala Lumpur dipendekkan lebih satu jam berbanding pementasan asalnya yang mengambil masa dua jam 45 minit turut menjadi cabaran buat mereka.

    Justeru, mereka merombak semula beberapa babak dan memendekkan beberapa dialog untuk memenuhi tuntutan masa sekaligus memerlukan pelakon membuat lebih latihan untuk perubahan ini,” ujarnya.

    Menyentuh tentang kecenderungan produksi masa kini yang cuba memodenkan bangsawan atas alasan mahu menarik lebih ramai penonton ke panggung terutamanya dari generasi muda, Ihsan menolak pendekatan itu.

    Bagi Ihsan, sebagai penggiat seni elemen keindahan yang ada dalam persembahan bangsawan ini seperti lenggok, gaya bahasa dan sebagainya perlu dijaga.

    Menurutnya, seni bangsawan akan hilang identitinya jika dikurangkan ciri berkenaan.

    “Kita harus bangga dengan budaya kita dan tidak perlu terlalu fleksibel sehingga menghilangkan nilai seni bangsawan itu sendiri. Tiba masanya ia akan lenyap ditelan arus kemodenan,”  katanya yang turut memegang watak sebagai Penasihat Diraja Lurah Permata menerusi bangsawan itu.

    Sementara itu, pelakon utama Azman Shariff yang memegang watak Maharaja Andika Perkasa pula mengakui naskhah Satria Menara Putih ini sebagai sesuatu yang mencabar kerana bukan sahaja perlu menjaga lakonan dan pergerakan di pentas tetapi perlu menghafal dialog panjang dengan nada serta lenggok berbeza.

    “Saya memegang peranan utama sebagai  Maharaja Andika Perkasa di mana saya tampil dalam hampir keseluruhan babak.  Ini bermakna saya mempunyai banyak dialog yang perlu dituturkan.

    “Jadi perlu mempersiapkan diri dengan secukupnya untuk memastikan saya dapat mengingat kesemua dialog itu dengan baik selain menuturkannya dengan nada dan lenggok bangsawan yang betul agar tidak mencacatkan persembahan,” katanya yang sudah membintangi lebih 20 naskhah bangsawan.

    Biarpun pengalaman dalam lakonan sebelum ini menjadi kelebihan buatnya, Azman tidak pernah mengambil mudah sebaliknya sentiasa mendapatkan tunjuk ajar daripada pengarah selain latihan berterusan.

    Menurut Azman, berlakon di pentas bangsawan bukanlah sesuatu yang mudah kerana boleh merosakkan seninya jika tidak kena caranya.

    “Misalnya pada babak akhir di mana saya telah tercedera, namun dalam kesakitan itu saya perlu menunjukkan emosi marah dengan menuturkan dialog panjang yang cukup indah dan ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

    “Memang pengalaman saya dalam dunia lakonan sebelum ini banyak membantu, namun saya tidak pernah pandang ringan kerana apabila buat ringan, maka hasilnya nanti juga akan menjadi bertambah ringan,” akhirinya.

    Akhbar: 
    Sinar Harian
    Publish date: 
    Tuesday, July 25, 2017

    Add new comment

    Plain text

    • No HTML tags allowed.
    • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
    • Lines and paragraphs break automatically.
    Image CAPTCHA
    Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN