Sasar 50 sekolah sertai Kelab 3P

Sasar 50 sekolah sertai Kelab 3P

Ngah menyampaikan hadiah dan piala kepada wakil kumpulan tarian SMK Tengku Bariah.
 

 

 

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan 50 sekolah menengah di seluruh negeri ini menyertai Kelab Program Pelancongan Pelajar (3P) sebelum akhir tahun ini.

Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPNT, Ngah Bidin berkata, hanya 33 sekolah yang menubuhkan Kelab 3P sejak ia diperkenalkan lebih lima tahun lalu.

“Sebenarnya Kelab 3P adalah satu usaha untuk merealisasikan pelan pendidikan negara dan JPNT akan mengambil tanggungjawab ini untuk menggalakkan lebih banyak sekolah terlibat dalam kelab berkenaan dalam masa terdekat.

“Saya akan menggalakkan semula sekolah menengah untuk mengambil bahagian dalam kelab ini dengan memperhebatkan iklan (Kelab 3P) di setiap sekolah bagi menarik penyertaan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena Pertandingan Kebudayaan Karnival 3P Peringkat Negeri Terengganu di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Terengganu (JKKN), di sini.

Ngah juga berharap JKKN dapat menyediakan jurulatih budaya untuk membantu guru membimbing pelajar yang menyertai Kelab 3P.

“Saya rasa jika JKKN boleh sediakan jurulatih, pihak sekolah akan lebih positif kerana kita sedia maklum kadang-kadang sekolah kekurangan guru mahir dari segi kebudayaan dan mempunyai komitmen lain,” katanya lagi.

Ngah berkata, pihaknya yakin sasaran penyertaan sehingga 50 sekolah menerusi Kelab 3P dapat dicapai sebelum akhir tahun ini dengan adanya kepakaran dan kerjasama daripada JKKN.

Pada pertandingan itu, Kuala Terengganu yang diwakili SMK Tengku Bariah berjaya muncul johan peringkat negeri dan akan mempersembahkan tarian mereka ke peringkat kebangsaan yang berlangsung di I-City Shah Alam pada 17 hingga 20 September ini.

Author: 
Noradila Mohamad
Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Tuesday, September 15, 2015