Razali saran kerajaan pulihkan keyakinan rakyat

Razali saran kerajaan pulihkan keyakinan rakyat

 

 
email
comments
Razali saran kerajaan pulihkan keyakinan rakyat
- gambar hiasan
PETALING JAYA: Kerajaan disaran mencari jalan untuk memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap institusi awam demi meningkatkan daya saing negara dan memastikan masa depan yang lebih sejahtera, kata tokoh diplomat, Tan Sri Razali Ismail.



Katanya, tugas memulihkan keyakinan umum itu bukan terhad pada kerajaan saja tetapi harus juga dilakukan oleh semua institusi awam.



"Sekarang, apa saja yang kerajaan buat orang macam tidak percaya (dan) kata siapa yang akan untung daripada semua itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan satu syarahan perdana di sini, hari ini.



Tambah beliau, kalau negara ini mahu terus kekal berdaya saing di peringkat rantau dan antarabangsa, usaha membaik pulih keyakinan rakyat itu tidak mahu tidak mesti dilakukan.



Razali sebelum itu menyampaikan Syarahan Perdana Budaya bertajuk Polemik Politik: Ancaman Kepada Penyatuan Bangsa anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.



Dalam syarahannya, beliau menarik perhatian kepada polemik politik yang selalu timbul dalam masyarakat dan "kerap menonjol sebagai kuasa gangguan" yang menjejaskan segala kerja keras untuk memajukan negara.



Katanya, polemik politik itu berjaya kerana ia bergantung kepada naluri kebimbangan masyarakat apabila pihak yang memainkan polemik itu memberikan gambaran senario kes terburuk yang mungkin akan berlaku kepada mereka.



Jelas beliau, polemik politik itu juga memberikan cabaran tambahan kepada pemimpin terutamanya dalam masyarakat yang majmuk seperti di negara ini yang terpaksa berhadapan dengan tentangan bukan saja dari luar tetapi tentangan dalaman.



Beliau memberikan contoh bagaimana perubahan yang dicadangkan oleh kerajaan untuk meningkatkan daya saing negara melalui Model Ekonomi Baru (MEB) yang "disambut sepi oleh sesetengah Bumiputera" serta penentangan di kalangan Bumiputera terhadap usaha-usaha kerajaan berhubung isu-isu kebebasan.



Razali yang juga pengerusi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) menafikan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak berdolak dalik untuk melakukan perubahan-perubahan yang diperlukan dalam masyarakat.



"Perdana Menteri ada hasrat yang jelas untuk melakukan banyak perkara. Beliau malah menggunakan perkataan transformasi," katanya.



Namun Razali berpendapat semua agenda perubahan itu terganggu dengan polemik politik yang timbul dan dibesar-besarkan oleh media.



Beliau juga berpendapat polemik politik di negara ini sudah keterlaluan sehingga hampir semua perkara termasuk GMMF hendak dipolitikkan oleh ahli politik.


 
Akhbar: 
Astroawani.com
Publish date: 
Thursday, November 7, 2013