Ramli Ali terima anugerah Tokoh Seni Budaya Sarawak 2015

JABATAN Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengiktiraf Ramli Ali sebagai anak seni tempatan banyak menyumbang ke arah pembangunan seni dan budaya melalui program ‘Anugerah Tokoh Seni Budaya Sarawak 2015’ diadakan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, Cawangan Sarawak, Isnin lepas. Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Sarawak merupakan satu pengiktirafan diberikan kepada individu kerana jasa, sumbangan dan baktinya dalam pembangunan dan perkembangan seni budaya tanah air.

Sumbangan dan bakti diberikan oleh tokoh atau penggiat seni budaya negeri perlu dilihat sebagai satu sumbangan bermakna. Bidang seni dinilai dan diberi perhatian adalah seni tari, muzik dan teater.

JKKN dibawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bersama Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak (KPS) serta Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak( DBP) bekerjasama menjayakan acara kali ini bagi menghargai jasa dan sumbangan budayawan seni tempatan. Anugerah julung kali diadakan ini bertujuan menggalakkan penghasilan karya seni tempatan bermutu tinggi dan memartabatkan khazanah asli khususnya di Bumi Kenyalang. Budayawan menerima anugerah berprestij ini dinilai melalui ketokohan serta sumbangan mereka terhadap perkembangan seni budaya tanah air.

Pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka menetapkan kriteria disenaraikan sebagai panduan kepada orang ramai mencalonkan budayawan tempatan.

Pengkelasifikasian berpaksikan kepada tiga bidang seni menjadi ukuran penilaian iaitu bidang muzik, tari dan teater. Borang pencalonan telah diedarkan melalui laman sosial Facebook dan orang ramai boleh memuat turun borang pencalonan tersebut. Pihak penganjur turut mengiklankan borang pencalonan melalui media cetak dan telah disiarkan didalam akhbar Utusan Sarawak pada 21 Oktober lalu. Edaran surat pemakluman dan borang pencalonan kepada BadanBukan Kerajaan (Seni dan Budaya) turut dilaksanakan bagi meluaskan lagi pencarian.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara(JKKN) dan Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak(KPS) selaku urus setia memastikan setiap calon disenaraikan dalam peringkat pemilihan perlu memberi sumbangan dalam bidang masing-masing dalam menjulang dan memartabatkan nama negeri Sarawak di peringkat yang sewajarnya. Jawatankuasa Pencalonan ditubuhkan terdiri daripada Dayang Norazan Kartini binti Dato Pengiran Haji Zain (Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak), Irwan Budi bin Annuar (Jabatan Penyiaran Sarawak) dan Mohd Baharruddin bin Mohamad (Jabatan Penerangan Sarawak).

Sepanjang proses pencalonan seramai 14 orang calon tempatan terpilih berdasarkan sumbangan karya seni masing-masing pernah menjulang nama Bumi Kenyalang ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Pihak panel penilai memastikan setiap calon disenaraikan dalam peringkat pemilihan perlu memberi sumbangan dalam bidang masing-masing.

Keutamaan pemilihan dalam bidang muzik diberikan kepada mereka yang telah bergiat aktif dan masih menunjukkan minat dari segi persembahan atau pertunjukan secara berterusan. Di samping itu, calon juga masih memberi sumbangan dalam mencipta, menggubah dan memimpin kumpulan muzik serta mencapai kecemerlangan dalam bidang berkenaan. Sementara itu pihak penganjur turut mencari calon dalam bidang seni tari perlu memenuhi kriteria ditetapkan.

Keutamaan pemilihan diberikan kepada calon beraksi cemerlang serta berwibawa dalam bidang seni yang cukup sinonim dengan masyarakat. Calon mestilah menunjukkan kegigihan dan keunggulan mencipta gerak tari, menari, mengurus dan memimpin kumpulan tarian serta mengadakan persembahan secara berterusan. Bagi kategori seni persembahan teater pula, keutamaan pemilihan lebih ke arah kecemerlangan dalam bidang lakonan, pengarahan, penerbitan pementasan dan penulisan skrip. Calon berwibawa dan menguasai arena pementasan di peringkat negeri mahupun kebangsaan adalah calon dipertimbangkan sebagai penerima anugerah berprestij ini.

Mereka juga perlu menunjukkan kegigihan dan kesungguhan dalam memberikan sumbangan melalui penyemarakkan karya masingmasing. Ramli Ali, 58, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Seni Budaya Negeri Sarawak selaku penerima pertama anugerah berprestij berdasarkan sumbangan dan pencapaian dalam mengembangkan seni tari tempatan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Jasa dan pengorbanan beliau dalam memartabatkan seni tari berakar umbikan khazanah seni tempatan.

Penganugerahan ini memberi pengiktirafan kepada budayawan seperti beliau agar dapat menjadi ikutan oleh generasi muda menghasilkan karya seni yang dapat menjulang nama Sarawak di pentas persembahan mahupun menjadi warisan negara. Beliau sememangnya berjaya menghasilkan naskahnaskah tari bermutu malah turut melahirkan ribuan pelapis dalam bidang tarian di negeri ini. Anugerah Tokoh Seni Budaya melayakkan Ramli menerima wang tunai sebanyak Lima Ribu Ringgit Malaysia(RM5,000) bersama Sijil Penganugerahan dan Trofi sebagai menghargai jasa beliau.

Sumbangan Ramli dalam bidang seni diperakui oleh penggiat seni tempatan bukan sahaja kerana bakatnya dalam bidang rekaan tari tetapi turut berkemahiran bermain alat muzik, bersilat, mencipta lagu dan sering diberi kepercayaan sebagai juri pertandingan tarian. Ramli kerap menggalas tanggungjawab utama dalam mengetuai aktiviti persembahan kesenian berskala besar anjuran di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Anak jati kelahiran Kampung Tanjung, Kuching ini mendirikan rumahtangga bersama Nora binti Haji Jalil dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Siti Syahawauridha. Ramli pernah berkhidmat di Kementerian Pembangunan Sosial(KPS) pada tahun 1980 sebelum menjadi koreografer tetap di Kampung Budaya Sarawak(SCV) pada tahun 1989. Beliau seterusnya diberi kepercayaan untuk mengetuai Jabatan Kebudayaan SCV dan banyak melaksanakan pembaharuan dalam bidang seni persembahan dan pelancongan.

Pada tahun 1980 juga, Ramli dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik ketika menuntut di Padepokan Seni Bagong, Jogjakarta. Beliau dilantik sebagai Pengurus Panel Penilai di ASWARA terkenal sebagai gedung seni melahirkan ramai bakat-bakat muda di negara ini. Pencapaian lain pernah menyaksikan Ramli dilantik sebagai panel hakim sempena Festival Tari Malaysia pada tahun 2001 dan 2007.

Sementara itu program JKKN turut menjayakan Festival Teater Negeri Sarawak(FTS) yang telah diadakan bermula 4 November lepas menyaksikan sebanyak sepuluh kumpulan berentap merebut gelaran juara. Kumpulan-kumpulan yang bertanding terdiri daripada Kumpulan SIFAR, PERMATA Kenyalang, G-Teras (RELA Sarawak), BEDURUK (IPGTAR), ASENTAR (UNITAR), Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching, AKSARA, Senimanku (UiTM), Bayu (UNIMAS), dan Studio Labu Sakti.

Kali ini JKKN Sarawak sekali lagi bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak(KPS) Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Utusan Sarawak dan MANTERA menjayakan program dwi tahunan ini. Festival kali ini dianjurkan bersempena dengan sambutan ‘Malaysia Year of Festivals 2015’ dan bulan bahasa kebangsaan.

Akhbar: 
Utusan Sarawak Online
Publish date: 
Friday, November 20, 2015