Pusaran Angin Songsang kembali ke pentas

Kejayaan teater Pusaran Angin Songsang menjuarai Festival Teater Kuala Lumpur 2015 pada Jun tahun lalu membuka mata ramai pihak terhadap kebolehan aktivis teater muda Ilya Rusaidi sebagai pengarah berkaliber.

Ilya, 27, bekas pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera Seni Kreatif, Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menterjemahkan naskhah tulisan bapanya Rusaidi Ramli dengan baik. Rusaidi juga seorang aktivitis teater realisme yang aktif sejak tahun 1980-an.

 

Justeru atas permintaan ramai, Pusaran Angin Songsang akan kembali dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur malam ini dan esok jam 8.30 malam.

Ilya berkata, pementasan ini diadakan sebagai penghargaan kepada peminat, serta memberi peluang kepada mereka yang tidak berkesempatan menontonnya sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana teater ini turut meraih kemenangan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi watak Agus lakonan Shamshul Akmal Md Ilias dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi watak Su lakonan Yusri Ismail.

“Persaingan dengan kumpulan lain memang sengit. Tambahan pula saya menampilkan barisan pelakon baru yang bernaung di bawah nama Ikabuana Stage, Kuala Lumpur.

“Diharapkan dengan adanya pementasan semula ini, peminat teater tidak melepaskan peluang menonton Pusaran Angin Songsang. Bapa saya mengambil masa selama tujuh tahun untuk menghasilkan skripnya.

“Ia juga sudah dipentaskan beberapa kali dan antara pelakon yang pernah terbabit dalam teater ini ialah Allahyarham Pak Yus Jambu yang memegang watak Seman sewaktu awal pembabitannya di pentas teater,”katanya.

Menurutnya, Pusaran Angin Songsang diklasifikasikan sebagai teater aliran realisme sebenar kerana elemen masih dikekalkan dalam pementasan antaranya dari aspek lakonan dan sinografi pentas yang berlatarkan rumah kampung.

“Pengucapan dialog juga turut ditekankan kepada pertuturan yang digunakan sehari-hari. Teater berkonsep begini mempunyai kekuatan naskhah dan pelakon perlu mempunyai kekuatan sendiri,” katanya.

Pementasan Pusaran Angin Songsang kali ini membabitkan gabungan pelakon lama dan baru iaitu Shamsul Akmal, M Rosllie, Qurratu Ain, Din, Ibu Zah, Faizan, Attar, Sheda Samsudin, Farkhan Hasim.

Kru produksi dan pe­ngurusan pula terdiri daripada gabungan bekas pelajar teater UMS Sabah, alumni dan kumpulan Pentas Universiti Putra Malaysia (UPM), alumni pelajar teater Universiti Sains Malaysia (USM) serta pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Sementara itu, Rusaidi pula menganggap karyanya sangat bermakna berbanding yang lain.

“Ia dapat dijadikan sebagai cermin sesebuah masyarakat atau sebagai alat membela nasib mereka,” katanya.

Pusaran Angin Songsang mengisahkan mengenai usaha pemilik kilang memproses bahan kimia untuk mendapatkan tanah penduduk kampung bagi meluaskan kawasan kilang miliknya.

Ngah Dohat diupah merencanakan muslihat memujuk orang kampung menjual tanah mereka kepada pemilik kilang itu. Pada masa yang sama di kampung itu seorang lelaki bernama Agus sedang berhadapan konflik diri lantaran terjebak dengan ketagihan berjudi dan dibebani hutang yang menekan kehidupannya.

Pelbagai ikhtiar dilakukan Agus untuk mendapatkan sumber kewangan bagi memenuhi tuntutan nafsunya untuk terus berjudi dan melangsaikan semua hutangnya yang terbeban.

Inah isterinya yang sarat mengandung menjadi mangsa dengan sikap Agus yang bagaikan hilang pedoman itu.

Konflik Agus menjadi semakin parah apabila dia berhadapan dengan ibunya (Mak Long) dan memujuknya menjual sebahagian tanah itu kepada pemilik kilang. Keengganan Mak Long berbuat demikian menjadikan Agus mula hilang pertimbangan akal sehingga fikirannya mudah diracuni fitnah Ngah Dohat.

Maklumat mengenai tiket sila layari Instagram ikabuanastage_kl dan Facebook Ikabuana Stage Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 10:34 AM

Author: 
Ridzuan Abdul Rahman
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, February 26, 2016