Pesta Durian diserbu

BUKIT GANTANG 23 Julai - Pesta Durian Perak 2011 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Dataran Long Jaafar dekat sini mendapat sambutan luar dugaan apabila diserbu kira-kira 5,000 penggemar 'Raja Buah' tersebut.

 

Exco Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sebanyak 12,000 biji durian disediakan pada hari ini dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 50,000 pada hari terakhir.

 

Katanya, kesemua durian tersebut dari seluruh Perak dan dibekalkan oleh 18 peraih durian.

 

"Sambutan yang kita terima cukup menggalakkan kerana yang datang pada hari ini bukan sahaja di kalangan penduduk setempat malah, ada juga yang datang dari jauh.

 

"Kita menjangkakan lebih ramai pengunjung akan datang esok dan bekalan durian akan ditambah bagi menampung jumlah pengunjung," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pesta tersebut di sini hari ini.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pemantauan) Kementerian Pelancongan, Dr. Junaida Lee Abdullah dan Pengarah Kanan Bahagian Dasar dan Perancangan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Noorsiah Sabri.

 

Pesta anjuran bersama kerajaan negeri itu yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan berakhir esok juga menyediakan pelbagai acara menarik seperti pertandingan makan durian, pameran dan jualan, acara lelong durian, kejuaraan kaki durian dan demonstrasi masakan tradisonal.

 

Zainol berkata, selain buah durian, terdapat buah-buahan tempatan lain yang turut disediakan dengan kadar bayaran RM9 seorang.

 

"Pesta durian ini diadakan sempena musim durian di negeri ini dan bertujuan mempromosikan buah- buahan tempatan yang lain.

 

"Selain itu, ia juga bagi mempromosikan makanan tradisional berasaskan durian yang unik dan eksotik kepada masyarakat tempatan dan pelancong luar," katanya.

 

Sementara itu, sebanyak 2,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia telah diedarkan kepada orang ramai yang hadir pada pesta itu.

 

(ORANG ramai menikmati buah durian yang diberikan secara percuma pada Pesta Durian Perak 2011 di Bukit Gantang, semalam.)

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Sunday, July 24, 2011