Persembahan yang menyegarkan

Jadual industri hiburan tempatan saban hari dipenuhi dengan persembahan dan konsert sama ada melibatkan artis-artis tanah air mahupun dari luar negara dan pastinya, setiap satu di antara mereka punyai peminat tersendiri.

Namun pihak Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) tampil dengan irama dan konsep yang segar apabila telah mengadakan Konsert Koir Kebangsaan 2013: Jelajah Muzikal Teater dan Filem pada 23 dan 24 November lalu.

Dan pastinya, konsert ini adalah suatu kelainan jika dibandingkan dengan pelbagai konsert yang telah diadakan baru-baru ini kerana ia menyajikan persembahan bertaraf antarabangsa oleh anak-anak muda tempatan.

Persembahan koir yang turut menampilkan penyanyi bersuara soprano iaitu Syafinaz Selamat ini berbentuk repertoire dan segmen-segmen lagu yang diangkat daripada pentas teater dan filem ke dalam kumpulan koir.

Bermula dengan persembahan tradisional makyung melalui lagu Mengadap Rebab yang menyaksikan kolaborasi mantap antara Syafinaz dan Rosnan Rahman sambil disertai paduan vokal daripada anggota Koir Kebangsaan Malaysia (KKM).

Berjaya mencuri tumpuan peminat yang memenuhi dewan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), konsert diteruskan dengan persembahan lagu dari muzikal popular West Side Story iaitu Tonight, I Feel Pretty, Maria dan America.

Uniknya konsert ini, ia mempersembahkan lagu-lagu popular dari pelbagai latar belakang dan pastinya menggamit memori tersendiri apatah lagi apabila disampaikan dengan lontaran vokal memukau oleh lebih 50 ahli KKM.

Persembahan diteruskan dengan lagu The Impossible Dream, Don`t Cry For Me Argentina, On This Night Of A Thousand Stars, Pretty Women dan Diamonds Are A Girl Best Friend sambil diiringi gerak tarian kecil yang bersesuaian dengan rentak lagu di bawa.

Antara persembahan yang mencuri tumpuan ialah lagu Sandarkan Pada Kenangan yang dipopularkan oleh Datuk Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud.

Selain turut diselitkan dengan sedutan babak-babak menarik daripada filem Azura keluaran tahun 1984, persembahan tersebut turut diserikan dengan koreografi yang pasti mengimbau detik manis saat bercinta dahulu.

Menghangatkan lagi suasana, persembahan diteruskan dengan lagu-lagu antaranya Listen, Climb Every Mountain, Sedetik Lebih, Asmaradana, lagu tema Mr. Bean dan James Bond serta Pulangkan.

Ternyata, idea pihak JKKN untuk mengadakan konsert koir yang menggunakan tema lagu-lagu daripada teater muzikal dan filem popular menjadi apabila konsert yang berlangsung selama kira-kira dua jam itu tidak mengecewakan.

Kelainan muzik dan gaya persembahan yang ditampilkan melalui konsert ini seharusnya diberi pujian apatah lagi ia turut mempelbagaikan skop hiburan tempatan sungguhpun tidak dilakukan dalam skala besar.

Kumpulan Memento dan Vox Aurora turut mempersembahkan kekuatan vokal mereka.

Turut hadir, Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli dan juga penyanyi lelaki tersohor tanah air, Anuar Zain yang turut memuji persembahan konsert tersebut secara keseluruhannya.

Menutup konsert pada malam itu, persembahan Consider Yourself, Ombak Rindu, Phantom Of The Opera serta lagu berbahasa Mandarin dan Tamil iaitu Chiu Kan Tang Bue Bo dan lagu Balleilakka daripada filem Sivaji The Boss.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20131203/hi_10/Persembahan-yang-menyegarkan#ixzz2mvsJUt7I 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, December 3, 2013