Penyatuan Budaya Masyarakat M'sia Jelmakan Perpaduan

Penyatuan Budaya Masyarakat M'sia Jelmakan Perpaduan

KANGAR, 10 Nov (Bernama) -- Penyatuan seni budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan menjelmakan ikatan perpaduan yang murni adalah keunikan yang patut dipertahan dan dibanggakan, kata isteri Menteri Besar Perlis Nor Aswana Azlan.

"Kita patut berbangga memiliki warisan seni budaya yang unik dan beridentiti sendiri tanpa mengagungkan budaya luar yang kian menular dan mula mempengaruhi generasi muda," katanya semasa merasmikan Festival Bimbingan Seni Budaya 2013 Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis di sini Ahad.

Beliau turut berharap penggiat seni dan budaya serta kumpulan kesenian supaya bersedia menghadapi program Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan memaparkan keindahan warisan seni budaya negara.

Pada festival itu pelajar dari 14 sekolah menengah dan rendah menunjukkan bakat masing-masing dalam pelbagai persembahan termasuk tarian, silat, pertunjukan fesyen serta muzik moden dan tradisional.

Pengarah JKKN Perlis Rahmat Md Noh berkata persembahan yang berkonsepkan manifestasi dalam pelbagai genre kesenian dan kebudayaan itu juga memberi pengiktirafan kepada Kelab Tunas Budaya dan Kelab Giat Budaya dalam usaha mendekatkan orang ramai dengan kesenian dan kebudayaan Malaysia.

-- BERNAMA

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Sunday, November 10, 2013