Peluang hayati keindahan ghazal parti

Penggemar muzik ta­nah air lebih menge­nali irama ghazal dari Johor berbanding ghazal parti yang popular di Pulau Pinang.

Sebutan nama kedua-duanya sama tapi persembahannya sedikit berbeza.

Justeru, mereka yang ingin mendalami apa itu ghazal parti dan ghazbo boleh menyaksikan persembahan yang dibawakan dalam siri program Panggung Seni Tradisional 2015 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan, Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur jam 8.30 malam ini.

Persembahan oleh Persatuan Karyawan Pulau Pinang itu mengandungi dua segmen iaitu persembahan ghazal parti dan ghazbo yang mengambil masa satu jam 15 minit.

Segmen pertama menampilkan persembahan ghazal parti dari Tanjung Penaga yang menggabungkan pemuzik lama dan baru.

Dalam sesi previu yang diadakan kelmarin, pihak media diperlihatkan keindahan kedua-dua persembahan ini yang menampilkan tiga penyanyi iaitu Fairuz Selamat, Wan Adlyn Maasyah Mohamad Shah dan Noor Intan Ishak.

Mereka saling bertukar posisi menyampaikan enam lagu popular antaranya Al Baladi, Penawar Rindu, Kun Anta, Laksamana Raja Di Laut dan Nour El Chams.

Lagu Arab sememangnya menjadi asas kepada per­sembahan ghazal parti dan dapat dilihat semua penya­nyi ini dapat menyanyikan lagu ini dengan baik.

Persembahan mereka diserikan pula dengan dua penari yang menari tarian gelek dari Mesir.

Ghazal parti juga turut dimeriahkan dengan lawak jenaka daripada Man Belon yang juga pengacara. Dia juga memainkan peranan mengusik penari ketika mereka mengiringi persembahan artis.

Ghazbo pula adalah per­sembahan berkonsep eksperimental yang memasukkan unsur boria di dalamnya.

Kali ini, 10 penari tampil mengiringi persembahan penyanyi di atas pentas.

Nyanyian yang disampaikan pula berasaskan satu bentuk syair yang dikenali sebagai syair ghazbo. Syair ghazbo adalah sejenis puisi yang mempunyai empat baris serangkap dengan rima akhir yang sama dengan kandungannya berkisarkan sejarah ghazal parti dan boria.

Ternyata ghazal parti dan ghazbo sangat berbeza daripada persembahan biasa kerana dalam berhibur, ada mesej yang disampaikan menerusi lirik lagu yang di­nyanyikan.

Pengarah produksi Profesor Dr Sohaimi Abdul Aziz yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang mengakui perlunya ada usaha mempertahankan ghazal parti daripada pupus.

“Kami sendiri fikir per­sembahan ini perlu ditransformasi agar lebih segar. Itulah sebabnya beberapa pembaharuan dibuat seperti menampilkan lebih ramai penari. Lagu Arab perlu dikekalkan kerana ia asas persembahan,” katanya.

Menurutnya, ghazal parti kini hampir pupus kerana generasi baru kurang meminati persembahan ini.

“Saya cuba wujudkan kumpulan ghazal parti di USM. Minat untuk mendalami muzik ghazal parti perlu dipupuk sejak di bangku sekolah rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:00 AM

AKSI persembahan dalam ghazal parti.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/73686#sthash.VBFGALNU.dpuf

Author: 
Ridzuan Abdul Rahman
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Saturday, August 29, 2015