PALMA 2013: Angkat martabat lagu Melayu

PALMA 2013: Angkat martabat lagu Melayu

Oleh Nor Akmar Samudin

Selepas dua tahun Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Pertandingan Akhir Nyanyian Lagu Melayu Antarabangsa (PALMA), ia terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelajar luar negara yang menuntut di sini.

Pertandingan kali ketiga dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Pelajaran ini bakal berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri pada 30 November ini jam 9 malam. 

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rosli berkata, pada awalnya penganjuran PALMA dilihat agak pelik kerana lagu Melayu dinyanyikan warga asing. 



“Saya bangga kerana kita berjaya membuktikan bahasa Melayu dan lagu Melayu dapat diterima di peringkat antarabangsa. Ada peserta yang boleh menyanyi dengan baik sekali. Jika tidak melihat wajah mereka, kita pasti ingat lagu itu dinyanyikan penyanyi Melayu,” katanya.



Beliau berkata, program berkenaan adalah platform bagi meningkatkan kemahiran warga asing terhadap lagu dan bahasa Melayu dan antara usaha memartabatkan bahasa kebangsaan selain mengekalkan khazanah budaya negara.



“Selain mengiktiraf bahasa Melayu sebagai perhubungan rasmi di persada dunia melalui pembudayaan bahasa, pertandingan ini diharap dapat membuahkan hasil yang baik serta dapat melahirkan rakyat Malaysia yang sayangkan bahasanya sendiri. 



“Tidak mustahil, kehebatan bahasa Melayu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka boleh kembali dan kekal terutama ketika kerajaan menggiatkan usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 



“Di samping itu, usaha penganjuran program ini juga dapat mengenengahkan komposer dan mengembangkan populariti lagu Melayu ke luar negara dan menjadi duta memperkenalkan Malaysia kepada masyarakat luar melalui muzik,” katanya. 



Jelas Norliza lagi, menariknya pertandingan ini hanya terbuka kepada peserta bukan warga negara kecuali negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Selatan Thailand. 



PALMA 2013 turut mendapat maklum balas positif daripada warga asing yang terdiri daripada pekerja kedutaan dan suruhanjaya tinggi, perwakilan negara luar termasuklah yang sedang berkhidmat di sektor swasta serta kakitangan dan pelajar kolej serta universiti. 



“Tahun ini seramai 126 warga asing mewakili 32 negara yang menetap di sini mencuba nasib melalui uji bakat yang diadakan bermula 6 Julai dan berakhir 26 Oktober lalu,” katanya. 



Daripada 126 penyertaan, seramai 22 peserta berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir yang diadakan pada 26 Oktober lalu di Universiti Nilai. 



“Bagaimanapun hanya 11 peserta bertuah yang berjaya melangkah ke peringkat akhir,” katanya. 



Seramai 11 peserta itu terdiri daripada Syed Junaid Raza dari Pakistan dengan lagu Itu Kamu dari kumpulan Estrange; Cai Meiling, China (Cinta Abadi - Soo Wincci), Shanaka Nirmal Sirinanda, Sri Lanka (Perpisahan - Anuar Zain); Chogyal Nuchu Dorji, Bhutan (Cukup Indah - Alif Satar); Sayed Mohammad Hasheimian, Iran (Kepadamu Kekasih - Datuk M Nasir); Nurul Bagitova, Kazakhstan (Patah Seribu - Shila Amzah); Mbasu Benard Okaro, Kenya (Dwihati - Aizat & Yuna); Senyange Shaban, Uganda (Jangan Nakal - Alif Satar); Taniguchi Mami, Jepun (Kurik Kundi - Datuk Siti Nurhaliza); Kazi Yasin Islam, Bangladesh (Bahagiamu Deritaku - Hafiz) dan Brunhilde Marie Julia Geuth, Belgium (Kalis Rindu - Elyana). 



Masuk tahun ketiga penganjuran, JKKN membuat perubahan dari segi format pertandingan. Jika sebelum ini, peserta akan dinilai mengikut kategori masing-masing, lima lelaki dan lima wanita, tahun ini peserta yang dipilih berdasarkan kualiti vokal dan sebutan dalam Bahasa Melayu dan hanya seorang peserta akan dinobatkan sebagai johan yang akan diumumkan pada akhir rancangan.

 

 

Author: 
Nor Akmar Samsudin
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Saturday, November 16, 2013