Negara lain tuntut hak jika gagal pertahankan seni

 

Gagal pertahankan seni budaya warisan seperti makyung dan wayang kulit mungkin menyebabkan ia dituntut dan menjadi milik negara lain. Gambar hiasan. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Kegagalan mempertahankan seni budaya warisan seperti makyung dan wayang kulit mungkin menyebabkan ia menjadi milik negara lain.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Isham Ishak, berkata warisan seni budaya itu seharusnya difahami sebaiknya sebelum ia diharamkan.

“Setiap gerakan dalam persembahan makyung mempunyai mesej tertentu yang boleh masyarakat teladani dan pelajari.

“Kita mahu memuaskan semua pihak dalam hal ini, justeru perlu lebih banyak dialog dengan mereka yang mahir dan jangan sempitkan fikiran dengan mengharamkannya.

“Ini warisan kita yang perlu dipertahankan kerana bagaimana nanti jika ada negara lain ‘membeli’ makyung dan membawanya ke negara mereka serta mendakwa hak mereka,” katanya kepada media di Persidangan Mengenai Seni dan Budaya Antarabangsa Ke-8, The Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPac) di sini, hari ini.

Kelmarin, pada ucaptama di persidangan yang sama, Pelapor Khas Hak Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Karima Bennoune mendesak kerajaan memperbaiki hak berbudaya di negara ini berikutan masih wujud sekatan terhadap makyung dan wayang kulit di Kelantan.

Bennoune berkata, tindakan mengharamkan seni budaya makyung yang berasal daripada seni tradisi tempatan sangat memalukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Isham Ishak berucap pada Persidangan Mengenai Seni dan Budaya Antarabangsa Ke-8, The Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPac), Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA

Isham berkata, hal itu perlu dibincangkan secara serius dan menyeluruh, justeru lebih banyak dialog dengan mereka yang mahir mengenai makyung juga wayang kulit dan pihak yang mengharamkan akan dibuat sebelum sekatan terhadapnya di Kelantan ditarik balik.

“Pandangan Bennounce mengenai sekatan terhadap wayang kulit dan makyung adalah perbincangan sihat.

“Dalam masyarakat kita juga, ada pelbagai pendapat mengenainya. Wayang kulit misalnya mulanya ialah patung tetapi mungkin ada ulama kita yang mengubah cara penyampaian patung itu menjadi seperti sekarang.

“Wayang kulit itu tidak ada bercakap pasal agama pun kisah yang dibawakan banyak mengenai teladan. Jadi kalau wayang kulit diharamkan kita kena faham apa yang ingin dipersembahkan serta kenapa ia hendak diharamkan,” katanya. - BH Online

Author: 
Hafizah Iszahanid
Akhbar: 
Berita Harian Online
Publish date: 
Friday, March 15, 2019

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA