Monolog 3 artis hebat

Monolog 3 artis hebat

Oleh Ramlah Zainal

Bukan saja menampilkan monolog tiga aktres hebat tanah air, teater kompilasi Nam Ron, seks, rumah tangga dan pembunuhan turut mengangkat tema kewanitaan, sekali gus menyampaikan mesejnya kepada masyarakat.

Tiga aktres hebat yang ditampilkan dalam pementasan ini ialah Datin Sofia Jane, Vanidah Imran dan Sharifah Amani Syed Zainal. Turut membuat penampilan khas dalam segmen Laut Yang Tenang dan bermonolog dengan Vanidah ialah pelakon Aqasha. 

 

Pementasan ini diter­bit­kan Rumah Anak Teater (RAT) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Kakiseni. 



Selaku penulis dan pengarah teater kompilasi ini, Nam Ron berkata, pementasan ini mengete­ngahkan tiga naskhah menarik iaitu Aku Nak Jadi Bintang yang menampil­kan lakonan mantap Sharifah Amani, Laut Yang Tenang (gandingan Vanidah dan Aqasha) serta Laut Lebih Indah Dari Bulan pula diterajui Sofia.

Foto

 



“Naskhah Laut Lebih Indah Dari Bulan ini pernah dipentaskan dua kali iaitu pada 2006 dan 2008. Ini kali ketiga ia dipentaskan buat pengikut teater. Laut Yang Tenang pula baru kali pertama dipentaskan pada penonton di sini,” katanya.



Menurut Nam Ron, pementasan teater kompilasi itu juga mengetengahkan konsep persembahan minimalis dan ‘black box’. 



“Pementasan ini menampilkan persembahan ­monolog atau bermain dengan emosi ­dalaman. Jus­teru, ia lebih sesuai untuk ­penonton dalam skala kecil yang membabit­kan kira-kira 200 orang dalam satu masa, sekali gus mendekatkan hubungan dengan penonton. 



“Jika pihak kami ingin mementaskan teater kompilasi ini dalam skala yang lebih besar seperti di Istana Budaya, pasti konsep monolog dan minimalis ini tidak sesuai dan ba­nyak yang perlu ditambah untuk disesuaikan dengan ruang yang besar itu,” katanya. 



Ditanya pemilihan tiga aktres hebat itu, Nam Ron mengakui dia lebih selesa bekerjasama dengan barisan nama besar itu berbanding pelakon baru di luar sana untuk melakonkan tiga karya yang ditulisnya itu. 



“Terus terang, Sharifah Amani sudah terbabit ketika sesi pembacaan skrip naskhah Aku Nak Jadi Bintang sejak awal lagi. Saya percaya naskhah ini paling sesuai untuk dilakonkannya. 



“Aku Nak Jadi Bintang menceritakan seorang gadis yang datang ke ibu kota untuk menjadi bintang. Malah dia sanggup melakukan apa saja untuk menjadi terkenal. Sharifah Amani juga perlu melakukan ba­nyak pergerakan fizikal dalam pementasan monolog yang membabit­kan tempoh 15 minit saja,” katanya. 



Beralih watak Sofia pula kata Nam Ron, aktres itu perlu bermonolog lebih 45 minit dalam segmen Laut Lebih Indah Dari Bulan, sekali gus mendekatkan hubungannya dengan penonton. 

 

Author: 
Ramlah Zainal
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Tuesday, October 22, 2013