Merdeka Terakhir: Pendedahan berguna

Kali terakhir kumpulan teater Anak Seni Warisan Selangor & Kuala Lumpur (ASWA) mengadakan persembahan adalah menerusi teater Nurnilamsari di Auditorium Dewan Daeng Celak, Muzium Sultan Alam Shah pada Oktober tahun lalu.

Ketika itu mereka mempertaruhkan lakonan Elly Raja Lawak, Edlin AF, Keena Mentor, Wan Suhaimi dan Anas Farhan yang rata-ratanya sudah dikenali peminat sebagai tarikan. 

 

Agak lama mendiamkan diri, ASWA akhirnya kembali dengan pementasan Merdeka Terakhir yang dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sempena Festival Teater Kuala Lumpur (FTMKL 2013) pada 23 dan 24 Ogos lalu. 



Teater arahan Nazri Ahmad ini menampilkan pelakon Khairy Rosli, Nor Hayati Khalid, Maarus Mustapah, Yusnita, Yun Arjuna, Elly Raja Lawak, Jijhan Rabbani dan dramatis ASWA.

Foto

GANDINGAN pelakon lama dan baru dalam teater Merdeka Terakhir.



Meskipun tidak berjaya meraih sebarang anugerah, penasihatnya, Azmi Zainun, 57, atau lebih dikenali dengan nama pena Amizai tetap berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya. Baginya ini satu pendedahan berguna kerana ASWA bercadang mengadakan sebuah lagi persembahan pada Disember nanti.



“Banyak muka baru didedahkan dalam teater ini bagi memberikan mereka pengalaman. Hanya ada beberapa orang pelakon lama yang terbabit menjayakan persembahan ini. Mereka bekerjasama di antara satu sama lain dan hasilnya diperlihatkan menerusi Merdeka Terakhir. 



“Mereka ambil masa tiga bulan untuk berlatih dan agak membanggakan apabila pelakon kami tercalon dalam tiga kategori iaitu Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik. Bukan mudah untuk tercalon kerana persaingan diterima daripada kumpulan lain agak hebat,” katanya. 



Menurutnya, awal-awal lagi dia sudah memberikan kata-kata motivasi kepada anak buahnya agar bersedia dengan keputusan yang diterima. Apatah lagi penilaian juri berbeza-beza mengikut tafsiran mereka. 



“Perasaan kecewa memanglah ada kerana biasalah setiap orang mahukan kemenangan. Bagaimanapun sudah adat bertanding ada menang dan kalah. Saya dah pesan kepada mereka supaya fokus, berikan persembahan terbaik dan lupakan soal menang,” 

katanya. 



Kata Amizai, ASWA sememangnya bermatlamat mahu menonjolkan pelapis dalam pementasan teaternya. Ini dibuktikan apabila dia memberi peluang buat Nazri mengarahkan Merdeka Terakhir. 



“Naskhah ini dihasilkan pada 2004 dan termasuk yang terbaru sudah empat kali dipentaskan. Persembahan pertama dan ketiga diarahkan oleh saya sendiri. 



“Saya lihat Nazri juga mempunyai gaya pengarahan tersendiri. Terbaru, saya sudah menghantar dua skrip teater kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan masih menunggu jawapan mereka. Kalau mereka bersetuju dengan cadangan ini, ASWA akan kembali mengadakan pementasan di Dewan Sivik pada Disember ini. 



“Saya boleh katakan naskhah ini menarik dan hanya boleh menjelaskan lebih lanjut selepas persetujuan dicapai. Sekali lagi ia akan menampilkan barisan pelakon baru dan lama bagi memantapkan lagi mutu persembahannya,” katanya 

Menurutnya lagi selain ahli lama yang kekal bersama ASWA, semangat mereka turut disuntik dengan kemasukan ahli baru kebanyakannya lepasan sekolah menengah dan penuntut universiti. 



“Mereka ini boleh dibentuk dan ada potensi dalam seni teater. Bengkel untuk ahli dibuat dua kali seminggu. Sehingga kini pun kami masih mengalu-alukan penyertaan ahli baru dan mereka yang teringin boleh menghubu­ngi saya sendiri di talian 011-12866597. 



“Saya juga masih lagi kekalkan strategi ambil pelakon yang ada nama untuk menarik peminat supaya menonton. Ini kali kedua Elly Raja Lawak bekerja dengan kami selepas teater Nurnilamsari. Selain itu Lan Zailan dan Edlin AF juga bersama ASWA dan mereka sering membantu aktiviti yang dijalankan,” katanya.

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, October 18, 2013