Merakyatkan seni, budaya

SUNGAI PETANI 10 Mac - Program Komuniti 1Malaysia Merakyatkan Seni dan Budaya (PMS) yang berlangsung buat pertama kali di padang bersebelahan Pasar Raya Besar Giant di sini mencuri tumpuan apabila lebih 6,000 penduduk hadir memeriahkan majlis.

 

Pengerusi Pertubuhan Gerak Seni Warisan 1Malaysia, Adnan Abdullah Sabil selaku penganjur bersama berkata, program tersebut mendapat sambutan hebat meskipun berlangsung dalam keadaan hujan.

 

Katanya, acara berkenaan diadakan untuk menyemarakkan aktiviti seni dan budaya serta menyerlahkan nilai-nili murni masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

 

"Program ini berjaya memainkan peranan untuk menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat. Lebih membanggakan ia disertai oleh setiap kaum meliputi Melayu, Cina, India dan Siam," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian acara berkenaan yang disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

 

Hadiri sama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz.

 

Adnan berkata, pelbagai acara menarik berlangsung antaranya persembahan 60 peserta kumpulan gendang Melayu, Cina, India dan Siam serta 100 lagi peserta Komuniti 1Malaysia.

 

"Selain itu, orang ramai juga teruja melihat acara manifestasi adat persandingan pengantin daripada empat kaum berkenaan," katanya.

 

Sementara itu, Rais ketika ditemui pemberita berkata, PMS adalah platform terbaik bagi mendedahkan kepada masyarakat umum tentang kepentingan memelihara seni dan budaya rakyat negara ini.

 

"Program PMS ini digandingkan dengan aspirasi Gagasan 1Malaysia. Saya dapati gabungannya yang melibatkan masyarakat pelbagai suku kaum sangat berkesan," katanya.

 

Sehubungan itu, tambahnya, kementerian akan meneruskan lagi program seumpama itu di Pulau Pinang, Alor Setar dan Kuantan dalam tempoh terdekat.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Sunday, March 11, 2012