Memartabat Lagu Melayu Asli Ke Persada Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Alunan indah Muzik Melayu Tradisional di panggung bertaraf dunia iaitu Dewan Filharmonik Pertonas malam tadi menerusi kemerduan suara para penyanyi dan iringan muzik orkestra berjaya mempersonakan lebih 800 penonton pada 'Konsert Selasihku Sayang' itu.

Selama lebih dua jam, para hadirin dibuai dengan nyanyian lagu seperti Embun Menitik, Zapin Bunga Hutan, Damak, Gurindam Jiwa, Penawar Rindu, Bunga Tanjung, Pasir Roboh dan Selasihku Sayang beserta alunan muzik 66 anggota Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Orkestranya adalah di bawah pimpinan komposer dan penggiat muzik Datuk Dr Johari Salleh dan Pengarah Muzik Orkestra DBKL, Mohamad Adzan Mohd Fadzil.

Konsert yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Filharmonik Petronas dan DBKL tersebut dibuaikan dengan kemerduan suara penyanyi seperti Dayang Nurfaizah, Aspalela Abdullah, Datuk Andre Goh serta beberapa penyanyi baharu di samping alunan saksafon Datuk Dr Ahmad Nawab.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli yang ditemui kemudiannya memaklumkan konsert tersebut merupakan antara platform untuk mengapungkan lagu asli sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Jika orang Itali berbangga dengan opera dan muzik klasikal mereka, maka orang Malaysia patut berbangga dengan lagu asli yang merupakan identiti mereka sendiri.

"Muzik tradisional Melayu merupakan interpretasi melodi dan lirik yang penuh dengan cerminan budaya Melayu dengan susunan muziknya beralun lenggok sempurna dalam luahan emosi beserta pantun yang penuh dengan maksud tersirat," ujarnya.

-- BERNAMA
 

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Monday, September 21, 2015