Makmal keghairahan pereka tari

PENCIPTAAN tarian baharu berasaskan keunikan budaya dan identiti masyarakat menjadi asas Inspitari Seni yang diwujudkan sejak 2010.

 

MASIH mengupas misi membentuk penciptaan tarian baharu berasaskan imej, identiti dan keunikan masyarakat setiap negeri, Inspitari Seni 2013 bergerak pantas dengan memasuki tahun ketiga.

Dimulakan pada tahun 2010, Inspitari Seni yang memperkenalkan tema Pencarian Tari Kreasi Baharu merupakan satu garapan daya cipta dan kreativiti yang dipersembahkan dalam acuan penuh simbolik oleh kumpulan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di seluruh tanah air.

Usaha itu juga adalah untuk menterjemah karya tari lama yang asli bagi diolah menjadi tarian baharu yang sarat dengan elemen tradisi namun masih menekan suntikan komersial serta bersifat dinamik.

Program itu juga tidak akan berhenti biarpun ada segelintir pihak yang memandangnya sebelah mata sahaja. Terdapat pandangan bahawa tarian tradisi tidak mungkin menjauhi istilah klise dan bertentangan dengan arus kemajuan bidang seni yang mempunyai ramai pengikutnya. Namun, JKKN tidak pernah luntur semangat.

Buktinya, Malam Gala Inspitari masih menjadi wadah wajib buat aktivitis-aktivis tarian. Ia bakal berlangsung selama dua malam bermula pada 4 dan 5 Oktober nanti. Kekal berpentas di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), lokasi itu sekali lagi akan menjadi saksi detik istimewa itu yang turut disokong Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Inspitari pada tahun ini menyaksikan kesemua 16 tarian yang dihasilkan atau diolah semula itu diberi nafas segar berdasarkan pola lantai, pergerakan dinamik, susunan lagu dan busana.

"Berdasarkan penyelidikan dan olahan semula, 16 tarian yang diadunkan oleh 16 orang pereka tari pada Malam Gala Inspitari itu nanti bakal melibatkan 268 orang artis budaya di bawah JKKN. Seni yang dipersembahkan itu mungkin bukan sempurna sepenuhnya, namun setidak-tidaknya, idea baharu dan garapan segar mula dibenihkan melalui persembahan pada malam berkenaan.

NORLIZA ROFLI berucap di hadapan para peserta Inspitari Seni dari seluruh negara di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

"Hasil daripada 'pembenihan' itu, kreativiti itu juga akan menjadi satu bentuk penyebaran apabila JKKN mengadakan persembahan sama ada di dalam mahupun di luar negara kelak. Ia bersesuaian dengan produk seni tari sebagai salah satu daya tarikan pelancong ke Malaysia," jelas Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli baru-baru ini.

Menurut Norliza, program itu juga merupakan manifestasi lanjutan ke arah pembangunan industri kreatif yang mampu memperkasakan Seni Budaya Negara.

"Kalau boleh saya imbas, sejak penganjuran dilakukan pada tahun 2010, Inspitari Seni mendapat sambutan yang cukup hangat sehinggakan ada penonton marah kerana tidak dapat masuk gara-gara panggung sudah penuh," katanya.

Pembenihan idea kreatif melalui Inspitari Seni sekali gus mengizinkan usaha itu bertindak seperti makmal utama yang menzahirkan keghairahan para pereka tari JKKN untuk berkarya.

Justeru, satu penanda aras dan maklum balas daripada penonton tentang tarian dapat dikenal pasti.

Pada tahun ini, kemunculan Kumpulan Kesenian JKKN Kedah yang mempertaruhkan Ronggeng Pak Ungku ilham daripada salah satu hobi bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj itu dijangka mencuri perhatian.

Ketika hayatnya, Tunku gemar menari dan aktiviti itu menjadi salah satu kesenian yang sering dilakukan oleh masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu.

Kecintaan Tunku Abdul Rahman terhadap kesenian pernah dilestarikannya menerusi penganjuran Pesta Kebudayaan yang pertama di peringkat nasional yang diberi nama Pesta Seni Kebudayaan yang diadakan pada tahun 1956 di Kuala Lumpur.

Antara tarian kreasi lain yang bakal dipersembahkan termasuklah tarian Zapin Rao dan Kabbadi yang dibawakan oleh kumpulan JKKN ibu pejabat.

Dua tarian itu adalah ilham daripada lagu Zapin Raub yang termasyhur di Raub, Pahang suatu masa dahulu.

Akhbar: 
Kosmo!
Publish date: 
Thursday, October 3, 2013