Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater dan Filem Menghiburkan

Oleh KEMALIA OTHMAN

 

Syafinaz Selamat menyanyikan lagu Sedetik Lebih

 

KUALA LUMPUR: Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater dan Filem dipersembahkan dengan bertenaga oleh Koir Kebangsaan Malaysia dan Koir Remaja Kebangsaan bersama penyanyi terkenal Syafinaz Selamat yang berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), di sini, pada Sabtu.

Acara yang bermula pada pukul 9 malam itu menampilkan lagu Mengadap Rebab yang sinonim dengan persembahan Makyong daripada Rosnan Rahman dan Syafinaz Selamat sebagai simbolik kepada elemen pembuka panggung.

Lebih istimewa, konsert ini turut diselitkan dengan sketsa dan video teater dan filem lama seperti petikan filem Azura , Mr Bean dan video muzik Allahyarham Sudirman.

Sebanyak 19 buah lagu dinyanyikan yang terdiri daripada lagu tema filem popular dalam dan luar negara seperti Ombak Rindu,Sandarkan Pada Kenangan, Asmaradana, Sedetik Lebih dan Preety Woman.

Kumpulan Koir Kebangsaan dan Koir Remaja Kebangsaan.

 

Selain itu cara nyanyian dan penyampaian dengan interaksi yang menghiburkan berjaya menarik perhatian penonton untuk terus berada di tempat duduk sepanjang 90 minit persembahan berlangsung.

Penonton turut memberi sorakan dan tepukan gemuruh setiap kali lagu popular dinyanyikan dan disertakan dengan sketsa yang mencuit hati.

Konsert yang memaparkan segmen nyanyian lagu-lagu tradisional dan moden ini turut menggabungkan artis jemputan Rosnan Rahman, Memento dan Vox Aurora serta Syafinaz sendiri.

Persembahan yang bertenaga dan menghiburkan penonton yang hadir pada malam Sabtu.

 

Turut hadir pada konsert tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli dan penyanyi Anuar Zain.

Konsert berlangsung selama dua malam iaitu pada 23 dan 24 November 2013 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia Jalan Ampang, di sini.

 

Author: 
Kemalia Othman
Akhbar: 
mStar Online
Publish date: 
Sunday, November 24, 2013