Kisah perebutan kuasa

Pertubuhan Pencinta Teater Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (HIDAYAH) yang dikemudi Kamarul AR sememangnya sinonim dengan pementasan teater genre bangsawan.

Sudah banyak genre sebegini dipentaskan antaranya bangsawan Kota Lukut yang mendapat sambutan menggalakkan.

Bahkan Kamarul AR (Anak Rembau) atau nama sebenarnya Kamaruzaman Ibrahim juga sering terbabit dalam persembahan bangsawan.

Tidak hairanlah apabila HIDAYAH turut tersenarai dalam program Siri Semarak Bangsawan 2017 anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Mereka akan mementaskan bangsawan berjudul Bangsawan Dewa Kencana karya dan arahan Kamarul AR sendiri di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula malam ini hingga 17 September, jam 8.30 malam.

Teater ini membariskan nama besar dalam lakonan TV dan teater antara­nya Mubarak Majid, Zack KOOL, Razi Adnan, Dayang Norinah, Marup Mustapah, Nazri Ahmad, Watie Khahar, Aine Yusof, Dean Sitara serta Pangiran Shah.

Turut membuat penampilan khas, Datuk Jalaluddin Hassan.

Sebagai orang berpengalaman, Kamarul menjanjikan persembahan hebat buat penonton yang hadir.

“Banyak elemen menarik yang akan dimasukkan nanti bagi menjadikan teater ini satu wadah yang menghiburkan penonton.

“Pentas akan diletakkan ‘back drop’ bagi menimbulkan mood setiap babak. Set akan digunakan sebaik mungkin dengan penonjolan unsur kekaguman yang menjadi ciri utama persembahan,” katanya.

Tidak ketinggalan pemilihan pemuzik pengiring juga dibuat dengan teliti bagi menampilkan persembahan yang profesional.

“Pemuzik ini berperanan mengiringi setiap babak yang ada perjalanan turun naiknya. Ucapan dialog berlenggok yang disulami silat, nyanyian dan tarian menjadi keistimewaan persembahan bangsawan,” katanya.

Dewa Kencana mengangkat dua watak penting iaitu Dewa Wangsa dan Kencana Demara Muazar yang membawa mesej perebutan kuasa bagi menjatuhkan kepemimpinan pihak yang sudah lama berjasa pasti membawa kepada krisis ekonomi.

Tiket sudah mula dijual dengan harga RM10, RM25 dan RM50 (premier). Untuk mendapatkan tiket, peminat boleh berurusan dengan JKKN dengan melayari laman sensawang www.jkkn.gov.my atau Facebook: Mysenibudaya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 12:00 AM
Author: 
Ridzuan Abdul Rahman
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Wednesday, September 13, 2017

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA