Jom berjoget
 di melaka

 

KIRA-KIRA 400 peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum akan berkumpul di Jalan Kota, Bandar Hilir, Melaka bermula pukul 8.30 malam esok bagi mempersembahkan pelbagai rentak tarian joget sempena Pesta Joget 1 Malaysia (PJ1M).

Pesta ini akan ditampilkan dalam konsep baharu dengan menghimpunkan pelbagai versi joget dari segi rentak, gerak dan lagu yang koreografinya diambil daripada gerak asal hingga kepada joget kontemporari dan terkini.

Secara umum, joget merupakan tarian rakyat yang telah diterima oleh semua lapisan masyarakat negara ini. Joget bererti menari atau bertandak dan merupakan salah satu genre tarian dalam kebudayaan Melayu.

Tambahan pula, kedatangan Portugis ke Melaka yang membawa tarian Branyo turut menjadikan joget diminati oleh masyarakat tempatan pada ketika itu.

Malah joget juga dijadikan satu kemestian dalam majlis keramaian dan ditarikan secara berpasangan atau berkumpulan yang juga dikenali sebagai joget lambak atau Cak Kun Cak.

Pada kebiasaannya persembahan joget diiringi oleh alat-alat muzik akordian, biola, rebana dan gong.

Justeru, mengambil kira latar belakang tarian joget dan sinonimnya dengan negeri Melaka khususnya, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) selaku pengelola telah mengambil inisiatif membawakan Pesta Joget ini dalam satu konsep baharu.

Pada program selama dua jam itu, para peserta akan mempersembahkan variasi joget dari seluruh Malaysia yang dibahagikan kepada tujuh segmen.

Segmen pertama ialah persembahan Joget Melaka daripada Artis Tari Kumpulan Kesenian JKKN Melaka, Kumpulan Kesenian MBMB dan Briged Seni Melaka.

Sementara segmen kedua menampilkan Joget Etnik yang akan memaparkan persembahan joget daripada Baba Nyonya, Cina, Chitti, India dan Portugis.

Kemudian diikuti dengan segmen ketiga, iaitu Joget Cilik yang akan memaparkan tarian joget daripada peserta hasil program Bimbingan Seni Budaya yang dilaksanakan oleh JKKN dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, mewakili generasi muda.

Selepas itu, akan dipaparkan persembahan joget asli dan tradisi di Melaka di mana ia dilaksanakan pada skala besar membabitkan golongan veteran yang dimulakan dengan perarakan skuter jenis Lambretta dan Vespa yang akan diikuti dengan persembahan joget lambak.

Turut memeriahkan acara joget ini ialah penyanyi Haziq dan Asmidar yang muncul sewaktu segmen negeri.

Untuk segmen ini variasi joget dari negeri-negeri di Malaysia akan ditonjolkan oleh Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Ini diikuti pula dengan persembahan joget antarabangsa oleh para pelajar luar negara yang berada di Melaka dan mereka dibimbing oleh JKKN. Para peserta persembahan itu akan diarak masuk dengan beca Melaka.

Untuk segmen ketujuh yang dikenali sebagai Joget Fusion akan menampilkan kelainan yang disuntik elemen moden yang akan diiring masuk dengan skyboard dan kasut roda.

Manakala persembahan penutup akan menampilkan gabungan persembahan joget oleh semua artis dan orang ramai.

Program ini merupakan satu lagi inisiatif dalam usaha merapatkan hubungan muhibah dan menjalinkan kemesraan di samping merakyatkan aktiviti seni budaya kepada komuniti setempat. Apa yang lebih penting ia mampu mengajak semua kelompok masyarakat dan peserta untuk sama-sama menghargai seni budaya tradisi di samping memupuk jati diri dan semangat mencintai seni dan budaya yang mengukuhkan persaudaraan dan hubungan muhibah masyarakat pelbagai kaum di Malaysia khususnya di Melaka.

Acara sebegini mampu memberi makna besar dalam perkembangan seni persembahan khususnya untuk rakyat jelata memandangkan joget telah mendapat penerimaan masyarakat pelbagai kaum sebagai tarian sosial yang popular, unik dan menjadi medium perpaduan.

PJ1M boleh memberi persepsi dan jati diri kepada masyarakat agar lebih menghargai seni budaya sendiri berbanding seni persembahan dari barat.

Usaha ini selari dengan falsafah dan fokus asas JKKN iaitu melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudaya serta berteraskan gagasan 1Malaysia.

Adalah menjadi harapan kerajaan acara seperti ini dapat memberikan persepsi berbeza masyarakat bagi mengenal jati diri dan pembentukan sahsiah menerusi himpunan masyarakat pelbagai kaum di samping memperkenalkan joget sebagai tali pengukuh perpaduan.

Malah program begini berupaya membuka minda masyarakat Malaysia dan memberi anjakan paradigma dalam lanskap sosial negara ini.

Selain itu, komuniti setempat boleh menjadikan joget sebagai gerakan senaman yang unik dan menarik. Acara ini juga diharap dapat menarik pelancong untuk mengenali joget sebagai produk pelancongan budaya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/jom-berjoget-8232-di-melaka-1.157769#st...

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Friday, November 13, 2015
Kemas kini terakhir: 15 August 2018, 11:19am
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN