JKKN Pergiat Acara Seni Budaya Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014

Seremban - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menyasarkan untuk mempergiatkan lagi acara seni budaya yang dapat menarik pelancong di dalam dan dari luar negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Ketua Pengarahnya Datuk Norliza Rofli berkata program yang akan diadakan nanti akan menyerlahkan lagi budaya tradisi rakyat Malaysia.

"Mulai tahun depan kita mungkin terpaksa mengurangkan program kita yang lazim dan memberi fokus kepada program berimpak tinggi termasuk program baharu. Bagaimanapun, ini bergantung kepada peruntukan yang diperoleh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Pesta Adat Budaya dan Tradisi Negeri Sembilan 'Olek Rayo' yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya pada tahun depan JKKN akan menjadi sokongan yang baik kepada industri pelancongan di negara ini.

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan negeri merancang untuk mengetengahkan seni budaya dalam setiap majlis atau program anjuran kerajaan di negeri ini.

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Thursday, August 29, 2013