JKKN Mengadakan Festival Teater Terengganu Mulai 23 Nov

 

JKKN Mengadakan Festival Teater Terengganu Mulai 23 Nov

KUALA TERENGGANU, 13 Nov (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Terengganu akan menganjurkan Festival Teater peringkat negeri Terengganu selama seminggu mulai 17 Nov di Auditorium Kompleks JKKN Terengganu di Kuala Ibai di sini.

Timbalan Pengarah JKKN negeri Zahari Mat berkata sebanyak 12 kumpulan akan mengadakan persembahan sepanjang festival yang diadakan dalam dua kategori iaitu drama moden dan monodrama.

Tujuh kumpulan mengadakan persembahan monodrama manakala lima lagi akan mementaskan drama moden, katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Antara kumpulan yang akan menyertai festival itu ialah Kumpulan Orang Hulu (Kehulu), Majlis Kebudayaan Daerah Setiu, Kumpulan Kebudayaan Kuala Nerus yang diwakili Univesiti Malaysia Terengganu (UMT), Group Teater Asyik Terengganu dan kumpulan dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Zahari berkata tempat pertama untuk drama moden akan membawa pulang RM2,500, kedua (RM2,000) dan ketiga (RM1,500) manakala tempat pertama monodrama mendapat RM700, kedua (RM600) dan ketiga (RM500).

Kumpulan yang muncul juara akan menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan tahun depan, katanya sambil mempelawa orang ramai datang menyaksikan persembahan itu. Masuk adalah percuma.

-- BERNAMA

 

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Wednesday, November 13, 2013