JKKN Johor catat rekod dua kali lebihi sasaran - Ketua Pengarah JKKN

wj_05.1.jpg

 

NORLIZA Rofli (tengah) diiringi oleh Abdul Hamid Muhamad (dua dari kanan) melihat sireh junjung semasa lawatan ke Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Johor di Johor Bahru, baru-baru ini.
 
JOHOR BAHRU 11 Jan. - Aktiviti kebudayaan dan kesenian di negeri ini bukan setakat berjaya melebihi sasaran 87 program untuk tahun lalu, malah hampir dua kali lebih banyak iaitu 157 program melalui penyertaan sekolah rendah dan menengah.
 
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli berkata, perkembangan tersebut cukup membanggakan kerana menunjukkan kesedaran dan minat dalam kalangan masyarakat hari ini, khususnya generasi muda.
 
"Saya yakin sambutan yang menggalakkan ini adalah hasil kesedaran dan penghayatan yang tinggi dalam kalangan generasi muda bahawa seni dan budaya merupakan satu bidang baharu yang mampu memberikan pendapatan lumayan.
 
"Seni budaya bukan 'kelas kedua' dan kini mereka berlumba-lumba menimba ilmu berkaitan di kolej dan institusi pengajian tinggi yang menawarkan pelbagai program berkaitan. Mereka menyedari peluang pekerjaan cukup luas di peringkat tempatan dan global," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke JKKN Johor di sini baru-baru ini.
 
Yang turut hadir Pengarah JKKN negeri, Abdul Hamid Muhamad dan pegawai-pegawai JKKN negeri dari setiap daerah.
Menurut Norliza, jumlah besar program tersebut merangkumi 70 aktiviti seni dan budaya di sekolah rendah dan menengah dengan masing-masing menganjurkan 40 dan 20 program di samping 10 lagi melibatkan segmen dalam kalangan masyarakat luar bandar melalui usaha merakyatkan seni budaya.
 
Katanya, baki 87 program lagi dianjurkan JKKN dan agensi kebudayaan lain seperti program seni tari, teater, bengkel kemahiran serta penyelidikan dan pemuliharaan budaya.
 
"Program-program ini khususnya yang dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan menengah mampu melahirkan satu generasi yang memahami adat dan budaya serta mempunyai jati diri yang kukuh. JKKN Johor berjaya melahirkan 30,000 pelajar yang menjalani program seni budaya dan pada masa sama cemerlang dalam akademik," katanya.
 
Tambahnya, JKKN akan meneruskan program seni budaya di seluruh negara melalui keupayaan 1,000 pelatih untuk mengajar seni tersebut di 12,000 sekolah menengah dan rendah terpilih.
 
© Utusan Melayu (M) Bhd
 
 

 

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Saturday, January 12, 2013