JKKN cadang program jelajah seni budaya libatkan pelancong asing

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) merancang untuk melibatkan peserta dari kalangan pelancong asing dalam program Jelajah Seni budaya bagi mempromosikan seni budaya masyarakat luar bandar.
 
Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli berkata melalui program itu, pelancong asing dapat merasai pengalaman menginap di inap desa di kampung-kampung dan melihat kehidupan harian masyarakat di luar bandar.
 
Perbincangan mengenai cadangan itu akan diadakan dengan Jabatan Perlancongan bagi merangka program berbentuk kebudayaan dan kesenian yang menarik.
 
"JKKN sentiasa melihat pembaharuan yang boleh dilaksanakan bagi mempromosi seni budaya dan kita harap ia dapat meransang kemasukan pelancong asing ke negara ini," katanya kepada pemberita semasa majlis pelepasan program Jelajah Seni Budaya Badan Bukan Kerajaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh di sini.
 
Jelajah siri ketiga itu berlangsung lima hari bermula hari ini, melibatkan kira-kira 90 peserta dari Kedah, Perak, Selangor dan Johor serta 60 penunggang motosikal berkuasa tinggi.
 
Program secara konvoi itu merangkumi bengkel serta seminar kebudayaan bersama komuniti setempat, persembahan kebudayaan, aktiviti khidmat masyarakat dan pengedaran risalah seni budaya di kawasan R&R, stesen minyak dan pusat membeli-belah.
 
Norliza berkata penglibatan badan bukan kerajaan serta penunggang motosikal berkuasa tinggi bertujuan memberi kelainan dalam usaha mempromosikan seni dan budaya.
 
Sebelum ini, siri jelajah di kawasan Pantai Timur dan Utara telah memberi hasil yang baik dalam memupuk kesedaran mengenai seni dan budaya kepada masyarakat terutama di luar bandar.
 
-- BERNAMA
Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Wednesday, October 30, 2013