JKKN anjur PMS mengenai amalan perubatan tradisional

BUKIT MERTAJAM, Selasa Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang (JKKN) akan mengambil inisiatif untuk memberi pendedahan kepada rakyat mengenai amalan perubatan tradisional dan rahsia alam ghaib menurut perspektif Islam.

Pengarahnya Mohd Rizal Ismail berkata ilmu perubatan itu perlu didedahkan kepada umum dalam program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) supaya umat Islam dapat memahami kaedah perubatan alternatif yang dibenarkan dalam Islam.

“PMS mengenai perkara itu membolehkan ilmu dan pengetahuan dalam amalan perubatan tradisional yang selari dengan ajaran Islam dapat dikongsikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PMS ‘Amalan Perubatan Tradisional dan Rahsia Alam Ghaib Menurt Perspektif Islam’ di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di sini hari ini.

Beliau berkata melalui program itu juga diharap dapat mengerakkan kesedaran masyarakat tentang kebaikan amalan sunah Rasul dan mengetahui cara khusus untuk menghindari gangguan misteri serta penyakit rohani.

“Program yang dianjurkan hari ini mendapat sambutan baik dan saya percaya orang ramai terutama golongan muda ingin tahu kelebihan serta kebaikannya dan kami berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membudayakan perkembangan ilmu pengetahuan kepada masyarakat,” katanya. — Bernama

 

 

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Wednesday, November 27, 2013