Golongan Muda Perlu Angkat Martabat Seni Kreatif Negara

KUALA LUMPUR, 20 Julai -- Negara memerlukan golongan muda yang dapat mengangkat dan membawa seni kreatif tanah air ke tahap yang lebih tinggi, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Joseph Salang.

 

Beliau berkata warisan kebudayaan dan kesenian tanah air perlu dipelihara dan dipertahankan supaya dapat terus dihayati dan dibanggakan sebagai warisan negara pada masa akan datang.

 

Justeru, beliau berharap penganjuran pelbagai program yang berbentuk kebudayaan dan keseniaan dapat diperbanyakkan kerana ia merupakan medium terbaik untuk melahirkan tokoh bertaraf antarabangsa.

 

"Pembangunan industri seni perlu berdaya saing dan membangun seiring dengan industri-industri lain di negara ini. Tokoh-tokoh seni diharapkan dapat membawa pemikiran yang lebih kreatif bagi membangunkan industri ke tahap yang lebih membanggakan," katanya ketika merasmikan program Gerak 2011 sempena Festival Kuala Lumpur, di sini Rabu malam.

 

Seramai 328 peserta dari 27 kumpulan akan mempersembahkan tarian dari pelbagai genre seperti tradisional, Hip Hop, Jazz, Kontemporari, Kreasi Baru, TAP, Ballet dan Afro Brazil dalam Gerak 2011.

 

Program berkenaan yang dianjurkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan serta Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar akan berlangsung selama lima hari di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

 

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli pula berkata program yang mengabungkan idea generasi lama dan baru itu merupakan landasan terbaik ke arah pencapaian kecemerlangan seni.

 

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) KPKK Datuk Ab. Ghaffar A. Thambi dan Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusup.

 

 

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Thursday, July 21, 2011