Gelanggang Tok Wali Pukau Penonton

1376413 361788897289466 1577818532 n

Teater Gelanggang Tok Wali yang berlangsung di Auditorium Kompleks JKKN Perak selama dua hari, berjaya memukau penonton dengan keberkesanan para pelakon pilihan pengarahnya, Ard Omar.

Ard Omar berkata, pementasan Gelanggang Tok Wali mengisahkan kekentalan semangat juang dan jati diri seorang guru silat yang bernama Raja Waliudin Raja Agus atau dikenali Tok Wali yang dilakonan Jefri Osman, dalam mempertahankan warisan budaya dan bangsa.

Beliau memberitahu, Gelanggang Tok Wali adalah adaptasi karya Ismail Kassan dan ia satu karya yang patut dipersembahkan untuk dijadikan tauladan kepada masyarakat.

Dengan bertemakan ‘realisme’ dan diselit sedikit komedi dalam pementasan, beliau berkata, penonton boleh menonton dengan keadaan santai sambil berfikir konflik dan pengajaran yang diterapkan.

“Jalan ceritanya menyingkap pergolakan masyarakat khususnya golongan muda pada hari ini yang semakin lupa nilai budaya dan terlibat masalah sosial seperti dadah, dengki, khianat dan tamak haloba,” jelasnya.

Lakonan bertenaga Jeffri Osman berjaya membawa watak Tok Wali dengan berkesan sebagai seorang guru silat yang mempertahankan warisan dan kampungnya.

Dengan reka bina set pentas rumah dan suasana kampung Melayu telah memberi impak yang berkesan untuk menghidupkan suasana ala kampung.

Sementara itu, penerbit Gelangang Tok Wali, Mohd Yusop Najmi berkata, pementasan dua hari berjaya mengumpul lebih 500 orang penonton termasuk pelajar sekolah dari SMK Seri Perak, SMK Tun Perak, SMK Simpang Taiping dan SMK Sultan Yusuff Batu Gajah.

Katanya, sejak kebelakangan ini, teater kurang diberi pendedahan dan peminat kurang mendapat maklumat mengenai pementasan yang berlangsung.

Bagaimanapun dengan kerjasama pelbagai pihak, antaranya kerajaan negeri Perak, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan PeraK, Majlis Kebudayaan Negeri Perak dan Koloni Karya Amanjaya (PORT), telah membantu industri teater di Perak berkembang dengan baik.

Akhbar: 
peraknews.com
Publish date: 
Monday, October 21, 2013