Gelanggang Tok Wali di Terengganu


WAN Kenari (kiri sekali) bersama para pelakon Gelanggang Tok Wali ketika sesi latihan di Kompleks JKKN, Kuala Lumpur.

TIDAK banyak yang berubah tetapi ada sedikit pembaharuan yang bakal dipersembahkan oleh produksi teater Gelanggang Tok Wali minggu hadapan. Walaupun ada sedikit penambahbaikan tetapi tidak akan mengganggu keseluruhan naskhah Ismail Kassan itu.

Gelanggang Tok Wali mengisahkan tentang seorang guru silat iaitu Tok Wali berhadapan dengan konflik usia tua namun masih aktif mengajar silat.

Sebagai orang yang dihormati kadang-kadang dia berasa bongkak dengan kebolehan ilmu persilatan memandangkan tiada siapa yang dapat menandingi kehebatannya.

Akibatnya keris kesayangan sendiri menjadi senjata yang membunuhnya ketika bergelut dengan seorang penagih dadah.

Teater yang diarahkan oleh Joorsaidy Johari itu dibintangi oleh Mazlan Tahir, Umi Kalsum, Zuraini Kasim, Wan Kenari, Monryanti, Elmy Moin, Zahri Ruzaini, Taufik Izmir, Alif AF8, Moh Azam Razali, Aizat Hassan dan Jack Hafiz.

Memilih Pantai Timur sebagai lokasi ketiga pementasan Gelanggang Tok Wali bakal dipentaskan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Terengganu, Kuala Ibai, Terengganu bermula 26 hingga 1 Mac ini.

Bagi Wan Kenari ini merupakan kali pertama dia terlibat di dalam produksi tersebut dan teruja untuk bergandingan dengan Mazlan Tahir yang juga merupakan aktivis teater berpengaruh tanah air.

Berperanan sebagai Tok Siak, Wan Kenari memahami dilema yang dihadapi oleh penggiat teater kecil yang sering kali menghadapi masalah seperti beban kewangan dan penajaan.

"Teater kecil seperti ini memang tak banyak penaja tetapi untuk penggiat teater itu bukan halangan. Orang teater biasanya tak kisah di mana lokasi asalkan ada peluang itu sudah memadai.

"Cuma kadangkala kasihan dengan nasib penggiat teater. Tak ada banyak peluang walaupun mereka melanjutkan pelajaran. Semua teater besar mahukan nilai kormersil dan menggunakan artis untuk melariskan produk.

"Paling terkesan bila pelakon-pelakon itu tiada asas dan hanya mengharapkan nilai komersil semata-mata. Lagi bagus jika mereka ada asas dan nilai komersil untuk terus memajukan teater tanah air," jelas ketika ditemui semasa sesi latihan baru-baru ini.

Meskipun tidak bernilai komersil, bakat yang ada pada Wan Kenari tidak boleh dipandang rendah. Lebih 50 buah teater telah disertai oleh pelakon ini semenjak tahun 1986 lagi.

Selain Gelanggang Tok Wali, dia juga pernah mementaskan teater Hamlet, Julius Ceasar, P. Ramlee The Musical serta persembahan Makyung 2004.

 

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140223/hi_07/Gelanggang-Tok-Wali-di-Terengganu#ixzz2uBm2OVWb 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Author: 
Syed Mussaddad Syed Mahdi
Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Sunday, February 23, 2014