Festival permainan tradisional Johor dalam kalendar pelancongan

Festival permainan tradisional Johor dalam kalendar pelancongan

MOHD. Khuzzan Abu Bakar bermain congkak selepas Majlis Penyerahan Dana Festival Permainan Tradisional dan Permainan Rakyat negeri Johor kali ke-5 2019 di Bilik Mesyuarat Utama Yayasan Warisan Johor di sini hari ini. UTUSAN ONLINE/ NUR AISYAH MAZALAN

JOHOR BAHRU 25 Julai - Kerajaan negeri akan memasukkan Festival Permainan Tradisional dan Permainan Rakyat Negeri Johor yang merupakan program tahuna ke dalam kalendar pelancongan tahun depan sempena Tahun Melawat Johor 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, langkah tersebut adalah untuk mengembangkan selain mempromosi serta menjadikannya sebagai satu tarikan pelancong yang baharu.

Jelas beliau, usaha ke arah itu bakal diperkukuhkan lagi dengan sesi lawatan kerajaan negeri ke Jepun pada November ini sebagai langkah promosi awal sukan tradisional negeri kepada negara luar.

"Kita bercadan untuk menambah permainan tradisional sedia ada dalam festival tersebut sebelum ini sebagai contoh permainan baharu bowling buah kelapa dan beberapa permainan lain yang boleh dimasukkan," katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Warisan Johor di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Johor, Zaifri Husin; Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Yasman Jamsir dan Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, Kamarudin Abdul Razak.

Dalam majlis berkenaan, Mohd. Khuzzan menyerahkan dana berjumlah RM80,000 kepada pejabat-pejabat pendidikan daerah bagi penganjuran festival tersebut bagi peringkat daerah sebelum memilih wakil-wakil daerah.

Dalam pada itu, Mohd. Khuzzan berkata, kerajaan negeri akan menganjurkan Festival Permainan Tradisional dan Permainan Rakyat Negeri Johor Kali kelima 2019 di daerah ini pada 15 September ini.

Jelasnya, program itu akan diadakan secara berperingkat-peringkat melibatkan 51 zon dan 11 daerah bermula di Johor Bahru pada 31 Julai diikuti Pontian, Batu Pahat dan Tangkak yang semuanya diadakan pada 21 Ogos manakala Kulai dan Muar (21 hingga 22 Ogos).

Kemudian ujarnya, diteruskan di Kota Tinggi (6 hingga 8 Ogos); Pasir Gudang dan Kluang (24 Ogos); Mersing (2 September), Segamat (10 September) dan kemuncaknya peringkat negeri pada 15 September nanti.

Menurut Mohd. Khuzzan, tiga kategori akan dipertandingkan melibatkan Pertandingan Permainan tradisional Sekolah Rendah, Pertandingan Permainan Tradisional Sekolah Menengah dan Pertandingan Terbuka Negeri Johor.

"Pertandingan Permainan tradisional Sekolah Rendah melibatkan congkak, batu seremban, diabolo atau yoyo Cina manakala Pertandingan Permainan Tradisional Sekolah Menengah pula congkak, batu seremban, gasing pangkah, sepak raga bulatan, daibolo dan kabaddi.

"Bagi Pertandingan Terbuka Negeri Johor melibatkan dam aji dan tarik tali. Fokus utama kita adalah pada enam permainan iaitu congkak, batu seremban, gasing pangkah, sepak raga bulatan, diabolo dan kabaddi," katanya.

Program yang dikelolakan JKKN Negeri Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor itu bertujuan mengembang serta memupuk bakat serta minat pelajar termasuk masyarakat terhadap permainan-permainan tradisional di negeri ini.

Selain itu juga katanya, bertujuan mengeratkan persahabatan, berkongsi pengetahuan dan idea serta pengalaman antara peserta dan pengunjung selain membina keyakinan dan keterampilan diri pelajar. - UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/berita/terkini/festival-permainan-tradisional-johor-dalam-kalendar-pelancongan-1.943941

Akhbar: 
Utusan Online
Publish date: 
Friday, July 26, 2019

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA