Festival Gambus

Festival Gambus

Meor Yusof Aziddin

2nd National Gambus Festival.2nd National Gambus Festival.22 DIS — Saya sempat meluangkan masa bersama keluarga pada malam sabtu lalu ( 14 Disember ) dengan menonton persembahan ‘2nd National Gambus Festival 2013’ (NGF 2013 ) bertempat di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN ). Lokasinya berdekatan perhentian bas Kelang, Jalan Tun H.S Lee.

Program ini dianjurkan oleh National Conservatory of Arts ( NCA ) dengan kerjasama dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara ( JKKN) juga dari Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ).

Sebelumnya menurut orang kuat program tersebut, Raja Zulkarnain atau lebih dikenali dengan nama Zul yang juga merupakan ‘aktivis gambus’ tanah air, festival yang pertama sudah berlangsung pada tahun lepas, tapi kurang dari segi sambutan.

Gambus atau nama betulnya oud, asalnya dari Timur Tengah. Masalahnya di sini alat muzik tersebut sudah sekian lama dikenali sebagai gambus Melayu. Bila sebut gambus Melayu, terusnya di fikiran kita adalah tentang zapin dan ghazal yang berasal dari Johor sana.

Apapun untuk program kali ke 2 yang mereka anjurkan ini, menurut Zul sambutannya sangat menggalakkan dari segi sokongan dan kehadiran penonton. Program yang berlangsung dari jam 8 pagi dan berakhir jam 10.30 itu siangnya dipenuhi dengan sesi ilmiah dan workshop.

Para peserta yang mengambil bahagian dalam pesta Gambus.Para peserta yang mengambil bahagian dalam pesta Gambus.Malamnya pula penonton disajikan dengan persembahan para pemain gambus yang sanggup datang dari Singapura ( Ismahairie), Amerika ( Nathan Ficsher& Eric Zang ), Indonesia ( Syech Razie ) selain dari negara kita seperti Zulhafis Zulkepli dari UPM, Kumpulan Ghazal Seri Bayu dari UPSI, Zulkifli Ramli selain Raja Zulkarnain sendiri.

Juga diselitkan persembahan sitar dari pemain sitar terkenal tanahair, Kumar Karthigesu dari Temple of Fine Arts yang sempat membuat persembahan dalam konsep ‘raga’ diiringi iringan muzik tabla dari saudara Mohd Nizam Attan ( UPSI ) dan Eric Zang yang meniup kaval.

Saya akui katanya itu, jumlah kehadiran penonton di Mini Auditorium JKKN WPKL itu memang boleh dibanggakan walau tidaklah penuh sangat. Perlu diingat, ini program ilmiah, penonton dihidangkan dengan muzik yang lebih bersifat mendidik disamping memberikan kita ilmu dan pengetahuan.

Cuma yang agak dikesalkannya, tidak ada liputan dari para wartawan dari media arus perdana yang datang berbanding tahun lepas. Tahun lepas menurutnya, program tersebut dihadiri oleh ramai wakil-wakil pak menteri maka terpaksalah atau ramailah para wartawan turun padang untuk membuat ulasan yang segala-segalanya manis belaka walau penonton yang hadir hanya beberapa orang saja.

Tahun ini tidak ada VVIP yang turun , yang merasmikannya cuma Penolong Dekan Fakulti Seni Persembahan UITM, maka tak adalah wartawan yang datang. Bagi saya itu biasalah, sebab wartawan hiburan hanya melihat sesuatu program itu dari sudut kepentingan dan komersialnya sahaja. Kalau mereka hadir juga membuat liputan, itu bagi saya suatu yang menarik dan luar dari kebiasaan.

Kebanyakan mereka ini pun bukanlah faham sangat tentang muzik gambus apatah lagi untuk menunjukkan minat, lainlah kalau yang bermain gambus itu penyanyi terkenal Anuar Zain.

Atau mungkin bagi mereka sepatutnya perlu ada seorang dua artis popular yang membuat persembahan, umpamanya penyanyi pop Hafiz yang bermain gambus secara miming, atau Datuk Siti Nurhaliza yang dijemput menyanyi lagu tradisional lama. Jadi bagi mereka program yang seperti ini memang tiada daya penariknya.

Impian saya cuma satu saja, apabila tiba masanya, anak-anak muda akan lebih serius dengan muzik-muzik pilihan mereka tanpa perlu bergantung pada media hiburan, audio mahupun visual. Kita perlu tinggalkan cerita-cerita yang kurang cerdik yang sering dihidangkan di ruangan hiburan dan gossip tanahair. Sudah sampai masanya bagi anak muda kita membuat pilihan untuk visi dan mimpi mereka yang lebih realistik sifatnya di masa depan.

Saya terhibur menonton program tersebut sebenarnya. Saya sukakan bunyi gambus mahupun sitar, ada karakter dan penuh dengan elemen mistik. Kedua-dua instrumen ini termasuk alat muzik rebab bunyinya sendiri sudah punya karekter yang unik dan tersendiri.

Cuma saya ‘expect’ lebih dari sekadar ‘introduction’ tentang muzik gambus, terutama dari persembahan para peserta. Bermula dari muzik ghazal dan zapin dengan lagu-lagu pop tradisional dendangan dari Kumpulan Ghazal UPSI. Itu bagi saya biasa dan muzik dan irama yang sebegitu umum kita sudah lama didedahkan. Begitu juga persembahan dari Zulhafis Zulkepli dari UPM.

Cuma yang menarik bagi saya persembahan dari pemain gambus Amerika , Nathan Ficsher dan Eric Zang yang bermain sejenis alat tiupan seakan seruling bernama kaval, walau saya harapkan lebih lagi dari mereka berdua sebenarnya, seperti saya menonton pemainan Munir Bashir mahupun Naseer Shamma di you tube.

Apa pun untuk sebuah permulaan, bagi saya ianya tetap menarik dan menghiburkan.

Program NGF 2013 ini mendapat sokongan dari badan kerajaan dari segi kemudahan dan tempat, juga makan dan minum. Apapun untuk sesuatu program yang bertaraf ‘international’, adalah suatu yang janggal dan agak memalukan jika para pemuzik dan peserta tidak mendapat sebarang bayaran dari pihak penganjur.

Sepatutnya program yang berbentuk ilmiah seperti ini mendapat sokongan dari segi ringgit dari pihak kerajaan. Program ini nyata mampu mengangkat imej dan nama negara di mata dunia. Untuk jangka masa panjang pula faedahnya tentulah kepada anak-cucu kita nanti agar seni dan warisan lama kita kekal dijaga dan dipelihara.

Sedikit info tentang Raja Zulkarnain atau Zul, beliau penting dalam dunia gambus tanah air selain nama-nama lama yang kita kenal seperti Fadhil Ahmad ( arwah ).

Penting kerana selain pernah menjadi tenaga pengajar untuk alat muzik gambus di Akademi Seni Kebangsaan (ASK) dari tahun 2003 hingga 2010, sebelum ASK ditukar namanya kepada ASWARA pada 2005, beliau juga berjaya menghasilkan sebuah buku hasil karangannya bertajuk ‘Oud , Warisan Seni dari Timur Tengah’ yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad pada 2013.

Beliau pernah berguru dengan Nasheer Shamma ( lahir 1963 ) selama mendalami muzik gambus di Cairo. Naseer Shamma adalah tokoh muzik oud terkenal di persada antarabangsa yang berasal dari Iraq.

Suatu yang positif dan harus dipuji, menurut Zul, program ‘3rd NGF 2014’ akan berlangsung pada jun 2014 di bumi Johor pula. Mudah-mudahan....

Author: 
Meor Yusuf Aziddin
Akhbar: 
The Malay Mail Online
Publish date: 
Sunday, December 22, 2013