FBSB Cungkil Bakat Generasi Muda Perak

Festival Bimbingan Seni Budaya (FBSB) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak (JKKN) berjaya mencungkil bakat di kalangan generasi muda dalam bidang seni dan budaya tempatan.

PERAK TODAY 19

Program yang berlangsung di kompleks JKKN dekat Ipoh pada jam 2 petang tadi menyaksikan seramai 100 orang pelajar yang mewakili 68 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Perak mempersembahkan teater diiringi dengan tujuh tarian serta nyanyian puisi.

PERAK TODAY 1

Mariam Sulaiman

Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Negeri, Mariam Sulaiman, tahun ini FBSB berkonsepkan teaterikal yang dikenali sebagai ‘Serambi Budaya’ di mana terdapat kelainan pada konsep pentas.

“Konsep kali ini adalah berbentuk teaterikal yang dikenali sebagai ‘Serambi Budaya’ yang mana kita hiaskan pentas tersebut mengikut konsep yang dipersembahkan berbeza dengan tahun-tahun lepas.

“Menerusi konsep tersebut, kita menjadikan ruang persembahan seolah-olah seperti serambi rumah tradisional  supaya mesej yang ingin dikongsikan denagn penonton dapat disampaikan,” jelasnya kepada pemberita selepas menyaksikan persembahan Serambi Budaya FBSB.

Tambahnya, acara ini merupakan kemuncak kepada Program Bimbingan Seni Budaya (PBSB) yang dilaksanakan di setiap negeri mulai April sehingga September lalu.

“Mereka yang terpilih hari ini adalah berdasarkan prestasi cemerlang dalam bidang yang ditetapkan hasil daripada pengajaran serta pembelajaran selama enam bulan dalam bidang seni budaya sama ada seni tari, seni muzik, teater, mempertahankan diri mahupun berbahasa.

“Festival ini menjadi satu manifestasi pengukur kepada pencapaian peserta-peserta sekaligus menjadi platform kepada mereka menyerlahkan bakat kepada masyarakat umum,” ujarnya lagi.

Di samping itu, Mariam memberitahu peserta-peserta diajar oleh jurulatih yang bertauliah yang telah mengikuti kursus dikendalikan oleh pihak JKKN ibu pejabat selain mengumpulkan aktivis-aktivis serta guru-guru yang mempunyai bakat untuk turut serta mengajar mereka.

Beliau berharap agar program sebegini membantu masyarakat luar sentiasa menjiwai serta mengingati bahawa seni dan budaya yang merupakan aspek terbaik mengenal pasti tradisi kita.

“Harapan saya agar seni dan budaya akan terus hidup sampai bila-bila dan generasi kini serta seterusnya dapat terus bergiat aktif dalam bidang ini kerana ianya juga membantu mereka untuk cemerlang bukan sahaja dari segi persembahan malah dalam bidang akademik juga,” ujarnya.

FBSB berkenaan yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri secara tidak langsung menjadi penanda aras kepada pelaksanaan PBSB yang menjadi program utama Kementerian Pendidikan.

 

Akhbar: 
Peraktoday.com
Publish date: 
Sunday, November 10, 2013