Di sebalik topeng

Festival Topeng Antarabangsa Malaysia dapat sambutan

 

Evolusi penggunaan topeng itu membolehkan pemakaiannya tidak terhad sebagai topeng muka atau hiasan di dinding. Topeng juga sering menjadi objek tema lakaran di kanvas, kostum pementasan seni serta untuk tujuan promosi.

Ada sesetengah masyarakat percaya bahawa topeng merupakan perantaraan atau medium mereka untuk berhubung dengan kuasa-kuasa ghaib selain dapat melindungi mereka daripada kuasa-kuasa jahat.

Apa pun peranan topeng, kewujudannya memberi maksud tertentu kepada seluruh masyarakat di dunia.

Justeru, melihat kepada kepentingan itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Festival Topeng Antarabangsa Malaysia (MIMAF) di Esplanade, Taman KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menyoroti sepanjang penganjuran festival yang diadakan buat julung kali itu, pelbagai keunikan ditampilkan 379 peserta dari lapan negara iaitu Korea Selatan, China, Thailand, Filipina, Rusia, Indonesia dan Sri Lanka serta Malaysia sebagai tuan rumah.

Malaysia disertai oleh 287 peserta termasuk kumpulan Opera Cina Pulau Pinang, Awang Batil Perlis, Orang Asli Pulau Carey dan kumpulan Mek Mulung dari Kedah, manakala seramai 92 penyertaan adalah dari luar negara.

Pelbagai bentuk unik topeng dipamerkan dengan gabungan kostum berwarna-warni serta sarat dengan kilauan aksesori, menarik ribuan pengunjung ke pameran yang diadakan selama empat hari itu.

Bertemankan Menyelusuri Masa...Setiap Wajah Ada Cerita, membawa maksud setiap topeng yang digunakan mempunyai nilai identiti dan fungsi tersendiri mengikut budaya masyarakat tertentu.

Selain pelbagai maklumat dan hasil seni bertemakan topeng yang disediakan di ruang pameran, festival itu dimeriahkan dengan acara persembahan berkonsepkan topeng dari setiap negara, persembahan sisipan (pocket show), demonstrasi membuat topeng serta pertandingan melukis topeng.

Malah, acara kemuncak festival itu diserikan dengan persembahan malam gala yang mempamerkan persembahan pentas yang mewakili identiti sosio budaya kaum atau etnik masing-masing menerusi reka bentuk topeng, kostum, prop dan aksesori hiasan.

Paling meriah, festival yang diadakan dengan kerjasama Sekretariat Tahun Melawat Malaysia dan Tourism Malaysia sempena Festival Malaysia berkenaan turut memukau pengunjung dengan perarakan topeng (Mask Street Parade) bermula dari Matic, Jalan Ampang sehingga Jalan Sultan Ismail dan ditamatkan di Suria KLCC.

Seorang peserta pameran, Agoes Alwie, pameran seumpama itu memberi pengetahuan baharu kerana cerita atau kisah pemakaian topeng di kalangan masyarakat jarang sekali dikupas serta didedahkan.

“Penggunaan topeng dalam masyarakat di seluruh dunia mempunyai banyak persepsi dan menyampaikan maksud tertentu. Sebab itu pada pameran kali ini saya mengadakan siri gambar yang berbeza, iaitu dengan merakamkan gambar individu-individu yang menutup wajah mereka.

“Saya harap pameran seumpama ini dapat diadakan setiap tahun bagi memberi pendedahan kepada masyarakat,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/di-sebalik-topeng-1.130469#...

Author: 
Siti Airunisa Alaui
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Tuesday, September 1, 2015
Kemas kini terakhir: 22 February 2018, 02:33pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN