Dendang ghazal dialek Kelantan

KOTA BHARU 27 Julai – Dari dahulu sehingga ke hari ini, kehidupan manusia tidak dapat lari daripada alunan muzik yang berfungsi sebagai penghibur hati dan pencetus semangat asalkan ia tidak melampaui batas.

 

Meskipun dunia sekarang dilambakkan dengan ribuan jalur irama seperti hip hop kepada heavy metal yang membingitkan telinga, memilih jenis muzik yang tidak keterlaluan sebagai halwa telinga bukanlah satu perkara sukar.

 

Malah, irama lagu tradisional Melayu yang membuai jiwa adalah pilihan terdekat kerana ia paling tepat menggambarkan kehalusan budaya dan lenggok kehidupan masyarakat Melayu sendiri.

 

Justeru, tidak menghairankan apabila enam ‘otai’ rock bergabung tenaga dan bakat menubuhkan kumpulan muzik tradisonal Melayu, Gema Suria sejak lebih 10 tahun lalu bagi mengembangkan irama itu di Kelantan.

 

Dengan niat memberi alternatif kepada masyarakat negeri ini yang lebih larut meminati dikir barat dan alunan wayang kulit, kumpulan yang diketuai pegawai Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Pengkalan Chepa, Khairi Kerbak menggunakan sepenuhnya kepakaran mereka dalam muzik bagi memartabat lagu-lagu asli.

 

Khairi, 53, yang memainkan alat muzik harmonium, mula mengemudi rakan-rakannya pada 2001 atas galakan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan (JKKNK).

 

Selain beliau, lima lagi pemain muzik seangkatannya yang terlibat ialah guru muzik, Razi Daud, 48, (gambus); usahawan, Ibrahim Mohd. Yunus, 59, (gitar akustik); komposer, Hamzan Hassan, 44, (tabla); pegawai teknologi maklumat, Suhaimi Muhamad Nor, 50, (perkusi) dan guru penolong kanan sekolah rendah, Abdul Manaf Yamat, 50, (biola).

 

Kumpulan Gema Suria turut disertai vokalis, Mohd. Hasnul Hassan, 31, yang merupakan pemenang tempat ketiga Pertandingan Bintang Klasik Nasional 2007 dan seorang lagi vokalis wanita sambilan, Irahayu Ibrahim, 28.

 

Kumpulan itu sering membuat persembahan di majlis-majlis membabitkan kerajaan Persekutuan dan negeri dan pernah muncul beberapa kali untuk program khas di kaca televisyen.

 

Menyorot pengalaman ahli kumpulannya, Khairi memberitahu, Hamzan pernah memimpin Kombo Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kota Bharu dari 1993 sehingga 2004 dan sebelumnya pada 1990 menjadi sebahagian ahli kumpulan ‘rock kapak’ Zodiak bersama Razi sehingga melahirkan sebuah album.

 

Ibrahim yang berasal dari Pulau Pinang pula sudah lebih 40 tahun bermain gitar di kelab-kelab malam dan hotel beberapa buah negeri sebelum akhirnya berhijrah ke negeri ini pada 1980-an.

 

Khairi berkata, sekalipun latar belakang muzik ahli kumpulan itu kebanyakannya lebih kepada jalur rock dan muzik kombo, namun seiring dengan peredaran ‘usia’ dan memenuhi lompang yang ada, mereka tidak berfikir panjang apabila diminta JKKNK menubuhkan sebuah kumpulan muzik tradisional.

 

Jelasnya, mereka berasa amat terharu kerana sering dijemput membuat persembahan di serata negeri termasuk kawasan luar bandar seperti Jeli dan Gua Musang serta berpendapat masyarakat di negeri ini amat terbuka dengan apa sahaja jenis muzik.

 

“Muzik adalah sesuatu yang universal, apabila ada asas ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dikuasai dengan syarat kita mempunyai keghairahan dan sifat berpasukan yang saling melengkapi antara satu sama lain apabila menubuhkan kumpulan.

 

“Ini terbukti apabila pada 2002, kami berjaya menggondol juara pertandingan Lagu Asli Kebangsaan tahun itu di Kuantan, Pahang bagi kategori berkumpulan.

 

“Kebolehan memainkan lagu tradisional sama ada berentak asli, zapin dan ghazal adalah penanda aras bakat dan kesempurnaan seorang ahli muzik,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

 

Beliau berkata, galakan daripada pihak JKKNK bukan sahaja dari sudut sokongan moral, bahkan mereka juga dibekalkan dengan alatan muzik yang sudah tentunya tidak mampu disediakan jika daripada duit poket sendiri.

 

Tidak cukup dengan itu Khairi berkata, pada 2009 mereka diminta untuk menghadiri bengkel bersama beberapa kumpulan lain di negeri ini untuk mengenali lebih dekat muzik ghazal pula.

 

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa anakanda Sultan Ismail, Tengku Amalin Ai’syah Puteri amat meminati aliran muzik dari Johor itu dan berhasrat melihatnya dikembangkan di sini, lantas membawa kepada inisiatif JKKKN tersebut.

 

“Pemain ghazal Johor dari kumpulan Seri Melati dibawa khas untuk menerangkan kepada kami cara ia dimainkan dan peraturan yang berkaitan contohnya peraturan kesemua pemain termasuk vokalis dalam ghazal perlu membuat persembahan sambil duduk.

 

“Sebagai pemuzik yang sudah puluhan tahun menceburi bidang ini, peralihan dari muzik asli biasa kepada ghazal adalah satu peningkatan dalam karier kerana permainan ghazal secara jujurnya berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding muzik asli lain.

 

“Kemungkinan pada masa hadapan kami akan mencuba muzik keroncong pula yang lebih sukar untuk dimainkan, kami tidak kisah kerana ini semua adalah warisan budaya Melayu,” katanya.

 

Berpengalaman membuat persembahan di hadapan dua pemimpin tertinggi negara iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kemahiran kumpulan ini semakin meningkat apabila mula membawa rentak ghazal.

 

 

Malah, mereka juga pernah mengadakan persembahan di Taman Warisan, Mersing, Johor bagi menunjukkan kebolehan bermain muzik ghazal di ‘lubuk’ asalnya tetapi dengan membawakan lagu dalam dialek Kelantan.

 

“Peminat ghazal di Johor tidak marah malah kagum bila melihat kami mainkan lagu rakyat Kelantan dengan rentak ghazal, mereka bertepuk tangan gembira kerana ada penduduk negeri lain juga berminat dengan kesenian tempatan,” kata Khairi.

 

Di tangan kumpulan Gema Suria, lagu popular rakyat Kelantan seperti Ambo Raso Berkenan, Putih Kuning dan Main Mata dimainkan dengan lenggok ghazal dengan diterajui instrumen utama dalam ghazal iaitu gambus, tabla dan harmonium.

 

Khairi memberitahu, kumpulannya menukar rentak lebih 20 lagu rakyat tempatan negeri ini, majoritinya lagu dikir barat ke rentak ghazal untuk diserasikan dengan telinga penduduk.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Wednesday, July 27, 2011