Cubaan angkat martabat seni

Cubaan angkat martabat seni

Azimy Wan Ahmad (kiri) bersama Tan E Jan (tengah) dan Loh Kok Man.

Seni persembahan bukanlah cabang yang baharu dalam kelompok kesenian di negara kita. Bagaimanapun pendedahannya kepada masyarakat masih terlalu rendah memandangkan mereka sudah terbiasa dan cenderung dalam mendukung aliran seni komersial yang mudah diikuti melalui media massa.

Cabaran bagi mereka yang terlibat dalam komuniti seni persembahan tanah air sebenarnya amat perit untuk diterjemahkan. Sambutan yang diterima seringkali menduga kecekalan ekoran pulangan yang diterima tidak setimpal dengan nilai bakat yang mereka miliki.

Lupakan sejenak keperitan yang biasa kita dengar mengenai kepayahan yang mereka hadapi itu kerana arena seni persembahan kini diangkat sebagai antara sektor yang mampu menjana pendapatan di bawah payung industri kreatif negara.

Empat komponen penting dalam seni persembahan yang meliputi muzik, teater, tarian dan teater muzikal kini mendapat perhatian dan kerjasama memberangsangkan daripada pihak kerajaan mahupun agensi swasta seperti usaha yang dilaksanakan oleh pihak My Performing Arts Agency (MyPAA).

MyPAA dilihat membawa sinar dan harapan kepada komuniti itu dengan menubuhkan Dana Gala Seni Diraja yang matlamatnya menyokong dan meneruskan pembangunan kesenian dan budaya negara ini.

Jurucakap MyPAA, Azimy Wan Ahmad menyatakan yang pihaknya fokus dalam membantu penggiat industri kreatif ini dan mahu memartabatkan seni persembahan agar ianya menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat kita.

"Masalah utama dalam kalangan penggiat seni persembahan adalah kekangan kewangan untuk mengadakan persembahan.

"Di sini, pihak swasta dapat membantu dalam menyemarakkan lagi industri ini dengan bersama memainkan peranan mereka dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain membantu dari sudut kewangan.

"Apabila kewangan mereka kukuh, banyak persembahan dapat dibuat supaya masyarakat akan lebih terdedah dan menghargai nilai seni persembahan dan budaya warisan negara.

"Setelah mereka mula mengenali seni, mereka akan lebih menghargainya dan akan merasa seronok melihat pelbagai jenis persembahan seni dan ini akan membantu meningkatkan pendapatan penggiat seni," katanya ketika ditemui di pejabat MyPAA di Solaris Dutamas.

Dalam majlis itu, Azimy memperkenalkan dua orang penerima geran Dana Gala Seni Diraja yang akan membuat persembahan di luar negara sebagai memperkenalkan bakat seni persembahan yang ada di negara kita.

"Seramai 31 orang telah berjaya mendapatkan geran dana ini dan hari ini kami menjemput dua orang sebagai wakil penerima itu. Mereka ialah Tan E Jan yang akan membawa pemuzik violin kuartet dari Amerika untuk membuat persembahan di Kuala Lumpur serta Loh Kok Man yang akan mempersembahkan teater Animal Farm di Taiwan.

"Usaha ini bertujuan meningkatkan profil seni persembahan kita ke luar negara selain menggalakkan sektor swasta untuk menghulurkan sokongan kepada pembangunan artistik dan budaya di Malaysia," katanya.

Usaha mengumpulkan dana itu akan tiba kemuncaknya apabila MyPAA berkolaborasi dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjur Gala Diraja Seni Persembahan bagi mengumpul dana di Istana Negara, Jalan Istana, Kuala Lumpur.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Author: 
Azeem Phisal
Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Friday, October 11, 2013