Congkak

Congkak adalah satu permainan yang memerlukan pemain mengisi ‘buah’ ke dalam deretan lubang yang diperbuat pada sekeping papan yang dinamakan papan congkak. Tujuan permainan ini adalah untuk menguji kecekapan pemain mendapatkan seberapa banyak buah dari yang dimiliki oleh pihak lawan. Ia dimainkan oleh kaum lelaki dan juga kaum perempuan yang mana bilangan pemainnya hanyalah dua orang sahaja.

Alatan yang diperlukan dalam permainan ini adalah papan congkak dan ‘buah’. Papan congkak adalah satu kayu bujur yang berbentuk sampan yang mengandungi dua barisan 7 lubang yang sederet yang bertentangan yang dinamai ‘kampung’ dan satu lubang di setiap bahagian hujungnya yang dinamai ‘rumah’. Selain dari papan congkak, permainan ini memerlukan ‘buah’ sebanyak 98 biji. Guli,biji saga, biji getah atau batu kecil boleh digunakan sebagai buah.