Add new comment

Perlis tidak batal program berskala besar

Perlis tidak batal program berskala besar

KANGAR: Perlis tidak akan menunda atau membatalkan program perhimpunan berskala besar di negeri ini berikutan penularan coronavirus baharu (2019-nCoV).

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata program utama seperti Pesta Angin Timur 2020 (PAT2020) dan Perlis Marathon 2020 yang bakal berlangsung hujung bulan ini dan Mac tetap berlangsung seperti dijadualkan.

Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat bersama Jawatankuasa PAT2020 selepas mengambil kira beberapa faktor dan mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis.

“Persediaan untuk PAT2020 yang akan berlangsung pada 28 Februari hingga 1 Mac masih berjalan lancar dan kita masih kekalkan tarikh itu serta tiada sebarang perubahan berlaku.

“Ia diteruskan kerana Perlis tidak menerima sebarang laporan atau kes membabitkan 2019-nCoV dan ia disahkan sendiri JKN negeri.

“Bagaimanapun langkah berjaga-jaga tetap diambil bagi mengelak sebarang risiko luar jangka berlaku,” katanya pada sidang media PAT2020 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Azlan dipetik berkata sebarang pembatalan program perhimpunan awam berskala besar hanya akan dibuat mengikut nasihat JKN Perlis dengan keputusan itu perlu dimuktamad dalam mesyuarat induk khas.

Mengulas mengenai persediaan kerajaan negeri menghadapi 2019-nCoV sepanjang PAT2020 berlangsung, Azlan berkata pihaknya akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak wabak itu menular.

“Kita sudah berbincang bersama JKN Perlis yang akan melakukan pemeriksaan saringan di pintu sempadan seperti di Wang Kelian, Padang Besar dan Terminal Jeti Kuala Perlis sebelum dan ketika PAT2020 berlangsung.

“Malah pihak JKN negeri juga akan membuka klinik bergerak dan pemeriksaan kesihatan sepanjang tempoh PAT2020 dan kita juga akan pantau pengunjung dari semasa ke semasa,” katanya.

PAT2020 adalah acara pembukaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) dan memasuki tahun kelapan dalam penganjurannya tahun ini dengan jumlah pengunjung menghampiri 100,000 orang dari dalam dan luar negara.

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/02/654626/perlis-tidak-batal-program-berskala-besar?fbclid=IwAR1MDChYAFynUOeXURTHIJEI_A96sgnCKwHqZWc97wcQVncw00iZ-dnQmjA

Author: 
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Akhbar: 
Berita Harian Online
Publish date: 
Tuesday, February 11, 2020

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA