Belia tanding main gasing

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Negara sememangnya kaya dengan pelbagai permainan tradisional rakyat seperti congkak, sepak raga dan wau malah setiap negeri mempunyai corak dan peraturan mereka tersendiri.

Gasing, antara permainan popular tradisional yang masih bertahan, namun perlu diperluaskan kebangkitannya agar belia dan remaja masa kini tidak lupa keindahan permainan ini. 

Permainan ini dahulunya amat terkenal dalam kalangan orang tua. Justeru, tidak hairanlah ia mula mendapat perhatian kumpulan dan persatuan yang mahu ia diteruskan. 


Pahang terkenal dengan permainan gasing kunonya, Johor dengan gasing tala, Kelantan terkenal dengan gasing uri, sementara Sabah dan Sarawak dikenali sebagai gasing Borneo.



Khuatir sekiranya permainan gasing ini semakin dilupakan masyarakat, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persekutuan Gasing Malaysia (PEGAMA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Festival Gasing 2013, baru-baru ini.



Festival yang diadakan ini adalah manifestasi lanjutan ke arah pembangunan permainan gasing tradisi, selain memperkenalkan penggunaan gasing polimer hasil daripada penyelidikan di Fakulti Kejuruteraan UPM. 



Meskipun masih baru, festival berkenaan dapat menarik lebih 78 pemain yang mewakili 13 pasukan dari seluruh negara, termasuk UPM dan 1Malaysia. Semua pasukan diwakili pemain berusia antara 16 hingga 18 tahun. 



FELDA Sungai Kemahal, Triang, Pahang muncul juara Pertandingan Gasing pada Festival Gasing 2013, sekali gus meraih wang tunai RM2,000 berserta sijil dan plak. 



Pengerusi Persatuan Gasing Pangkah FELDA Sungai Kemahal, Mohd Shaitudin Baba, 46, berkata meskipun pemain sudah biasa didedahkan dengan gasing kayu, penggunaan gasing polimer masih ada cabarannya. 



“Gasing polimer lebih ringan berbanding gasing kayu. Pemain harus berhati-hati untuk mengawal kelajuan sewaktu memangkah,” katanya. 



Tambahnya lagi, ia adalah kejuaraan pertama bagi kumpulan itu menerusi kategori remaja sejak penubuhannya 31 tahun lalu. 



Pasukan Negeri Sembilan daripada Felda Palong 3 boleh tersenyum bangga apabila dinobatkan sebagai naib juara, diikuti Kedah di tempat ketiga yang membolehkan masing-masing membawa pulang RM1,800 dan RM800 berserta sijil dan plak. 



Hadiah disampaikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Profesor Dr Mohammad Shatar Sabran, diiringi Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli.

 

Author: 
Siti Salmiah A Hamid
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, December 20, 2013