Anugerah Seni Negara

Sumbangan dan pengorbanan seniman tersohor ini dalam bidang seni ternyata diiktiraf oleh negara apabila beliau dilantik oleh Yang DiPertuan Agong sebagai Senator di Dewan Negara pada 13 Oktober 2004. Untuk pertama kali dalam sejarah tanah air seorang seniman filem mengangkat sumpah kerana dilantik sebagai Senator.

Jasa dan budi beliau terus diiktiraf melalui beberapa penganugerahan seperti Pengarah Filem Terbaik dalam Pesta Filem ASEAN, 1978 melalui filem Menanti Hari Esok. Pada Pesta Filem Malaysia Pertama 1980, filem Tiada Esok Bagimu meraih empat anugerah utama iaitu Anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Penyunting Filem Terbaik. Bagi filem Esok Masih Ada pula menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik dan Jurukamera Terbaik.

Pada Pesta Filem Asia ke-26 di Bali, Indonesia (1980), Filem Esok Masih Ada memenangi Anugerah Mitra Bagi Tema Terbaik Yang Menganjurkan Perpaduan Kaum dan Silver Crane Award dalam Pesta Filem Asia Pasifik Ke-32 di Taipei (1987). Dalam Pesta Filem Malaysia Ke-3, filem Bukit Kepong menguasai tujuh anugerah manakala Esok Untuk Siapa merangkul tiga anugerah.

Kemuncak kejayaan dunia perfileman Jins ialah pada Pesta Filem Malaysia Ke-6 pada 1986 apabila beliau diumumkan sebagai penerima hadiah berprestij iaitu Anugerah P.Ramlee.
Beliau juga dinobatkan dengan pelbagai anugerah ketokohan seperti Tokoh Budaya Universiti Kebangsaan Malaysia, Tokoh Karyawan Perak 1999 dan Anugerah Seniman Sepanjang Zaman, 2003. Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang pada 14 Ogos 1999 menganugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan sebagai mengiktiraf ketokohan beliau. Manakala, pada 8 September 2005, UiTM menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Seni Persembahan.

Seniman Jins Shamsudin adalah penerima Pingat Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Perak (1990), Kesatria Mangku Negara (KMN) daripada Yang DiPertuan Agong (1990), Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia (1999) dan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) membawa gelaran Tan Sri (2007). Selain daripada itu, beliau juga menjadi tokoh yang banyak mencetuskan kejayaan dalam menyemarakkan dunia seni khasnya dalam bidang perfileman dan politik. Antara buktinya adalah seperti berikut;

  • Penerima pertama Anugerah Bintang Harapan 1, Award Gelanggang Filem (1959)
  • Pelakon pertama filem bercorak ejen perisikan yang diberi jolokan `Singapore Own Bond’.
  • Anak Malaysia pertama menyaksikan pelancaan kapal angkasa Apollo 16 bersama Presiden Amerika Syarkat, Richard Nixon di Cape Kennedy mengikut rancangan Pertukaran Kebudayaan Amerika Syarikat.
  • Karyawan filem pertama memenangi enam daripada 13 anugerah secara serentak pada Festival Filem Malaysia (1980).
  • Filem Bukit Kepong adalah filem pertama diadaptasi menjadi buku teks sekolah tingkatan 4 (2002).
  • Filem Menanti Hari Esok adalah filem tempatan pertama melakukan penggambaran di London (1978).
  • Bintang filem pertama dari Malaysia dilantik menjadi juri di Pesta Filem Antarabangsa, Honolulu, Hawaii (1983).
  • Bintang filem pertama Malaysia menerima Silver Crane Award ketika Pesta Filem Asia-Pasifik ke-32 di Taipei (1987).
  • Karyawan filem pertama menerima anugerah Ijazah (Kehormat) Sarjana Persuratan Universiti Sains Malaysia (1999)
  • Seniman pertama dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (13 Oktober 2004) hingga kini.