Angklung

Malay

Alat idiofon yang digoyang. Ianya diperbuat daripada pipa ataupun tabung buluh yang terpilih. Sebuah Angklung lazimnya terdiri dari dua hingga empat tabung yang diikat pada 'rumahnya' yang dikenali sebagai 'ancak'. Angklung untuk melodi dilaras dalam jarak ataupun jeda satu oktaf di antara satu sama lain dan bagi Angklung pengiring iaitu accompaniment, ianya perlu dilaras mengikut kaedah 'trinada' (Tonic Triad) iaitu Do, Mi, So sama ada dalam mode Major ataupun Minor.

Permainan muzik Angklung sering dipersembahkan secara berkumpulan untuk majlis keraian dan juga iringan tarian seperti 'Kuda Kepang dan 'Barungan' yang mula berkembang di Johor.

Dalam persembahan Kuda Kepang, lazimnya tiga ataupun empat buah Angklung digunakan untuk memainkan mode rithme sebagai pelengkap kepada fizikal lagunya yang disertai bersama alat-alat lain dari disiplin Gamelan. Tradisi kesenian muzik Angklung yang berkembang di Malaysia sekarang ini adalah berasal dari Tanah Jawa, Indonesia. Manakala tradisi Angklung di Jawa adalah merupakan satu ekstensi daripada alat 'Bongkel' yang mula wujud di Banyumas, Indonesia sejak beratus tahun lamanya.

Proses penalaan Angklung dilakukan dengan cara ketukkan pada kakinya ataupun ditiup pada bibirnya.

Freetags: