Anak Seni Tempatan Meriahkan Kemerdekaan Ke-55 Negara

Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my

KUALA LUMPUR, 30 OGOS 2012: Mungkin inilah salah satu caranya bagi anak seni tempatan kita melahirkan sumbangan tidak terhingga mereka sempena meraikan Hari Kemerdekaan ke-55 negara yang akan berlangsung esok.

Yuna, Ella, Hafiz AF7, Stacy, Faizal Tahir, Nash Lefthanded, Suki, Daniel Lee dan Syeruthi terpilih untuk menyemarakan sambutan Hari Merdeka- Himpunan Janji Ditepati yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok bermula jam 3 petang sehingga 12.30 malam.

Malah, kemunculan Yuna tentunya sangat dinanti-nantikan oleh kita semua , lebih-lebih lagi selepas kejayaan melebarkan sayap muzik dan nyanyiannya ke Amerika Syarikat sejak setahun lalu.

Pembabitan Yuna itu sebagai tanda kebanggaannya menjadi anak Malaysia selain sokongan yang diberikan terhadap sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang terus mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian berbilang kaum selama 55 tahun.

Justeru, kesibukan bukanlah halangan buatnya untuk meluangkan secebis waktu untuk acara penuh bersejarah itu. Apa yang menarik, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah diberi kepercayaan untuk menguruskan persembahan berkenaan termasuk, sebuah lagi aktiviti iaitu Perarakan dan Perbarisan Merdeka di Dataran Merdeka, sebelah pagi hari yang sama.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, berkata, konsep yang diperkenalkan mengangkat tema keceriaan selain menyaksikan pembabitan generasi muda.

"Dalam menghidupkan suasana ceria feista, kami ingin mewujudkan interaksi pemimpin bersama rakyat. Menerusi pengisian persembahan pula, kami mengenengahkan lagu-lagu terkini dan segar yang memenuhi citarasa anak muda.

"Kerana itu, kami membariskan penghibur di kalangan generasi muda untuk membuat persembahan malah keseluruhan acara yang dijalankan menyaksikan pembabitan golongan 'Gen-Y'.

"Golongan ini penting untuk mendapat pendedahan kerana merekalah yang akan memacu negara suatu hari nanti dan kesederan perlu dipupuk dari sekarang. Saya melihat persembahan juga satu kaedah menggerakkan kebudayaan. Budaya bukan hanya perlu ditekankan atau bermula di sekolah, tetapi ia juga berupaya disemarakkan dengan acara seperti ini.

"Konteks kebudayaan meluas sebenarnya. Ia bukan sekadar tarian kebudayaan tetapi juga amalan dalam kehidupan misalnya hidup bersatu padu yang sinonim budaya Malaysia," katanya.

Beliau menambah, majlis pelancaran Himpunan Janji Ditepati yang diadakan pada 13 Julai lalu telah disertai 8,500 peserta manakala, Perarakan dan Perbarisan di Dataran Merdeka pada pagi esok akan menghimpun 13,500 peserta. Sebahagian daripada mereka adalah artis kebudayaan dibawah JKKN sendiri.

Memastikan semua aktiviti berjalan dengan lancar seperti dirancang, kesemua jabatan di bawah JKKN Pusat iaitu 14 JKKN negeri mengambil bahagian beserta 200 pegawainya yang berdedikasi turun padang.

"Saya mewakili JKKN dan seluruh yang terbabit, mengharapkan acara yang dihidangkan bukan saja menghiburkan, menyerlahkan kebudayaan dan semestinya paling penting dapat memupuk semangat perpaduan sebagai disarankan Perdana Menteri, Datuk seri Najib Tun Abdul Razak, yang membawa dasar 1Malaysia.

"Marilah beramai-ramai membanjiri Stadium Nasional Jumaat ini, kerana selain kita berhibur dengan persembahan penuh berwarna-warni, mendengar saranan Perdana Menteri, acara malam itu nanti amat istimewa," katanya.

Acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama, sebuah Proton Preve dan empat motosikal Modenas tajaan Proton, dua tiket penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur - London dan Kuala Lumpur - Sydney tajaan Sistem Penerbangan Malaysia, 50 Tablets tajaan Huawei Technologies dan 10 basikal Fixie.

Untuk memenanginya, pengunjung perlu mendaftar di khemah pendaftaraan di mana pihak urusetia akan memberi Kad Raya/Kemerdekaan yang tertera nombor di hujung kad itu nanti ada tentera nombor. Nombor itu perlu disimpan sehingga pengumuman hadiah cabutan bertuah diadakan.

Akhbar: 
Murai
Publish date: 
Thursday, August 30, 2012