90,000 pengunjung dijangka meriahkan Iftar@KL 2019

90,000 pengunjung dijangka meriahkan Iftar@KL 2019

SEBAHAGIAN orang ramai hadir pada majlis Iftar@KL 2019 di Dataran Merdeka. - NSTP/Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Seramai 90,000 pengunjung dijangka memeriahkan program Iftar@KL 2019 yang menawarkan pengalaman berbuka puasa bersama pelbagai lapisan masyarakat sambil menikmati keindahan ibu negara, bermula hari ini.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu berlangsung di Jalan Raja, di sini (berhadapan Bangunan Panggung Bandaraya DBKL).

Pengarah Bahagian Pembangunan Produksi dan Artistik JKKN, Rosnan Nordin, berkata program berkenaan diadakan sejak 2012 serta menjadi tumpuan orang ramai pada setiap Ramadan.

“Seramai 79,000 orang menyertai, tahun lalu, dan jumlah itu dijangka meningkat kali ini kerana ada bazar Ramadan di Jalan Raja yang antara lain menjual pelbagai barangan untuk persediaan menyambut Aidilfitri.

“Kita menjemput semua masyarakat, termasuk pelancong, untuk memeriahkan Iftar@KL 2019 dengan menikmati keunikan berbuka puasa beramai-ramai,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Penganjuran Iftar@KL 2019 antara lain bertujuan mengimarah dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah serta keprihatinan sesama insan melalui amalan kebajikan, selain mengeratkan hubungan pelbagai kaum.

SEBAHAGIAN orang ramai hadir pada majlis Iftar@KL 2019 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Dataran Merdeka. - NSTP/Aswadi Alias

Kelainan ditampilkan pada program kali ini termasuk penyediaan surau kontena bergerak oleh JAKIM, manakala DBKL pula akan mengadakan Malam 7 Likur@River of Life pada 25 Mei ini.

Rosnan berkata, Iftar@KL 2019 akan diadakan sebanyak enam kali pada setiap Sabtu dan Ahad bermula minggu ini, diikuti 18 dan 19 Mei serta 25 dan 26 Mei.

“Kita turut menyediakan 200 petugas bagi memastikan kelancaran program ini,” katanya.

ORANG ramai hadir pada majlis Iftar@KL 2019 di hadapan Panggung Bandaraya, Dataran Merdeka. - NSTP/Aswadi Alias

Author: 
Amin Ridzuan Ishak
Akhbar: 
Berita Harian Online
Publish date: 
Saturday, May 11, 2019

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA