8 NEGARA 5 SENI WARISAN DUNIA KONGSI PENTAS DI KUALA LUMPUR FESTIVAL SENI HIDUP 2019

8 NEGARA 5 SENI WARISAN DUNIA KONGSI PENTAS DI KUALA LUMPUR FESTIVAL SENI HIDUP 2019

“ALERT”: Festival Seni Hidup @ Living Arts Cultural 2019 yang akan berlangsung selama tiga (3) hari akan menghimpunkan seramai 135 peserta daripada sepuluh (10) penyertaan dalam negara dan tujuh (7) penyertaan antarabangsa iaitu Thailand, Filipina, Australia, Kanada, Sri Lanka, dan masing – masing dua (2) penyertaan daripada Turki serta dua (2) penyertaan daripada Indonesia.

KUALA LUMPUR, Nov 11 (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) akan menganjurkan Festival Seni Hidup @ Living Arts Cultural Festival yang akan diadakan pada 15, 16 & 17 November 2019, bertempat di Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
 
Penganjuran Festival Seni Hidup @ Living Arts Cultural Festival 2019, bertujuan untuk mengangkat dan memartabatkan keunikan warisan seni budaya. Secara tidak langsung, menyemarak serta menjadi pencetus kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan yang berterusan. Festival yang dianjurkan buat tahun ke-2 ini mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, ianya meliputi seni persembahan teater, tari dan muzik sebagai warisan tidak ketara yang telah diangkat oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNESCO), Warisan Kebangsaan, dan memerlukan perhatian dan kurang ditonjolkan kepada masyarakat.
                                     
Budaya turun – temurun dan berusia beratus tahun ini tidak terkecuali berdepan risiko pupus daripada tamadun masa hadapan. Sehubungan dengan itu, sebagai sebuah jabatan yang bertanggungjawab memelihara, mengembang dan membangunkan kebudayaan dan kesenian, pelbagai program yang bermutu dalam kelas tersendiri dianjurkan bagi terus menyemarakan warisan seni budaya negara, dan dalam masa yang sama mengetengahkan kesenian tradisional negara luar.
 
Program yang berlangsung selama tiga (3) hari ini menghimpunkan seramai 135 peserta daripada 10 penyertaan dalam negara dan tujuh (7) penyertaan antarabangsa iaitu Thailand, Filipina, Indonesia, Kanada, Sri Lanka, Australia dan Turki. Sebanyak lima (5) kesenian yang telah diiktiraf oleh UNESCO akan dipersembahkan kepada khalayak iaitu Dondang Sayang oleh kumpulan Kenangan Mawar Biru (Malaysia), Khon oleh Absolutely Thai Kansadaeng Watthanatham Co., Ltd (Thailand), Darangen oleh Sarimanok Theatre Company (Filipina), Turkish Art of Marbling ‘Ebru’ oleh Garip Ay dan Whirling Dervish oleh Sercan Celik (Turki). Manakala tiga (3) lagi telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan iaitu Main Puteri oleh Kelab Kebudayaan dan Kesenian Kampung Pulau Tebu Kelantan, Dabus oleh Kumpulan Tradisional Dabus Kampung Tanjung Bidara Perak dan Gendang Melayu Sarawak oleh Kumpulan Mukun Kamek. Program ini turut menampilkan masyarakat orang asli iaitu persembahan seruling hidung ‘Pensol’ oleh Bah Raman A/L Bah Tuin (Malaysia), Didgeridoo – Bilma Ga Yidaki oleh Malawurr (Australia), dan Fancy Shawl oleh Odawa Wiingushk (Kanada). Lain – lain kesenian ialah Anak Umbang oleh Che Wan Noorsaidi Che Wan AB Rahman atau lebih dikenali sebagai Mok Zah, Opera Boneka Teochew oleh Teochew Puppet Opera House, Terinai oleh ASWARA, dan Tarian Puspanjali oleh Kumpulan Prasasti Budaya, dan Tarian Ruai oleh Komunitas Seni Indonesia Eksotika Nusantara (Indonesia).
  
Selain persembahan kesenian,  Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dengan kerjasama erat Universiti Sains Malaysia (USM) dan Galeri Petronas akan melaksanakan beberapa program keilmuan dan bengkel sepanjang festival ini berlangsung. Penganjuran siri bengkel dan forum seni tradisional ini bertujuan untuk mengangkat dan memartabatkan keunikan warisan seni budaya terus kepada khalayak secara lebih dekat.  Antara pengisian program yang telah dirancang adalah pelaksanaan Seminar Kearifan Tempatan “Healing Performance” dan Demonstrasi Yiḏaki (Didgeridoo)  pada 16 November 2019, Bengkel Asas Tari Terinai bersama ASWARA, Bengkel Turkish Art of Marbling ‘Ebru’ dan Forum Seni bersama Galeri PETRONAS.
 
Selain Pusat Pelancongan Malaysia, JKKN turut berkolaborasi dengan Central Market dan Publika dalam penyemarakan seni budaya pada 15 dan 16 November 2019.
 
Pengunjung juga berpeluang melihat pameran, demonstrasi dan jualan makanan warisan seperti kuih bahulu, rempeyek dan banyak lagi, serta berpeluang merasai sendiri keseronokan permainan tradisional di tengah – tengah kota yang bawah khas oleh Jabatan Warisan Negara, Pusat Pelancongan Malaysia dan Yayasan Hasanah.
 
Bagi pencinta seni lukis, Balai Seni Negara turut mengadakan pameran lukisan The Soul II by Amy Hashim yang mempamerkan koleksi catan minyak yang memfokuskan subjek flora, fauna dan pemandangan. Pengunjung bukan sahaja berpeluang melihat hasil lukisan pelukis tanah air, tetapi akan dapat melihat demonstrasi seni lukis Turkish Arts of Marbling ‘Ebru’ yang telah diiktiraf UNESCO pada tahun 2014.
 
“Diharap program ini dapat menarik perhatian generasi muda untuk bersama-sama dalam usaha memajukan lagi aspirasi bagi menjadikan seni ini dapat diakses semua orang serta terus dikekal dan disemarakkan dalam meneruskan kelangsungan seni budaya dekad ini”. Kata Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Hajah Norliza Rofli dalam satu kenyataan pada hari ini.
 
Sebagai makluman, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) adalah sebuah agensi yang menjalankan aktiviti kebudayaan dan kesenian di Malaysia dan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1788351

Akhbar: 
Bernama Online
Publish date: 
Monday, November 11, 2019

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA