7 program pengembangan budaya sepanjang 2012

 

7 program pengembangan budaya sepanjang 2012 PDF Print E-mail
Hear this article

 capture22.jpg

ALOR SETAR -  Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kedah mengadakan pelbagai aktiviti serta program yang menjurus kepada seni dan budaya sepanjang tahun 2012.

Pengarah JKKN Negeri Kedah, Mohd Rizal Ismail berkata, terdapat 17 program melalui Pengembangan Budaya yang menjurus kepada program merakyatkan seni dan budaya pada tahun ini.

“Antara program yang dirancang ialah menjurus kepada penyampaian sumbangan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), asnaf, ibu tunggal serta anak yatim,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya juga turut menyampaikan bantuan kepada penggiat seni yang daif di samping mengadakan aktiviti bergotong-royong membersih tanah perkuburan, membaiki rumah serta mengecat balai raya.

“Kita mensasarkan kepada golongan generasi muda dengan mendekati mereka melalui penganjuran sukan futsal dan sepak raga bulat serta permainan berbentuk tradisional seperti congkak, dam aji serta batu seremban,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya juga turut mengadakan demonstrasi menghasilkan gasing serta wau di samping aspek yang berkaitan dengan wanita seperti pertandingan memasak dan menghasilkan sirih junjung serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

“Program ‘Kenduri Rakyat’ secara bergotong-royong turut dijalankan yang bertujuan menerap nilai-nilai murni di kalangan masyarakat yang berbilang kaum yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India,” katanya.

Mohd Rizal menjelaskan, pihaknya juga turut menjemput jabatan-jabatan kerajaan untuk mengadakan pameran yang dianjurkan oleh JKKN Negeri Kedah.

“Kita juga mempunyai program lain iaitu Pusat Seni Setempat (PSS) di bawah Pembangunan Produk Seni Budaya yang bertempat di Auditorium Taman Budaya Negeri pada setiap minggu kedua pada setiap bulan. Contohnya, Ghazal Parti, Pertandingan Bintang Irama Asli, Pertandingan Lagu-Lagu 60-an, demonstrasi lukisan dan sebagainya,” ujarnya.

Menurutnya, terdapat 33 buah sekolah rendah mempunyai  Kelab Tunas Budaya (KTB) manakala 20 buah sekolah menengah mempunyai Kelab Giat Budaya (KGB) di bawah Program Bimbingan Seni Budaya di sekolah masing-masing.

Beliau memberitahu, pihaknya turut mengadakan program Bimbingan Seni Budaya Rakyat yang terbuka kepada orang ramai untuk datang belajar di Taman Budaya Negeri.

“Pada tahun ini, kita akan mengadakan program ‘Hadrah’ dengan menjemput Kumpulan Hadrah dari negeri ini untuk membuat persembahan. Kita juga turut menjemput jurulatih Hadrah bagi tujuan menghidupkan semula Hadrah untuk mewujudkan pelapis di negeri ini,” katanya.

Pihaknya juga turut mengadakan kelas biolin untuk murid sekolah rendah dan gamelan untuk Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di Taman Budaya Negeri, silat untuk persatuan di Ayer Hitam dan teater untuk graduan di Institut Perguruan Darul Aman (IPDA).

Di bawah Penyelidikan dan Pembangunan, turut diadakan program Penyelidikan Seni Budaya pada setiap tahun  dan pada tahun ini, pihaknya turut mengadakan program dalam usaha mengenal pasti Alat-alat Pergendangan Melayu iaitu ‘Semangat Padi’ yang bertujuan sebagai bahan rujukan kepada generasi akan datang.

“Program Perantis turut diadakan yang bertujuan untuk melahirkan pelapis bergenerasi muda yang berminat kepada kesenian tradisional,” katanya.

Untuk tahun 2012 dan 2013, ujarnya, pihaknya turut mengadakan program Perantis Teater Tradisional Jikeng yang ahlinya terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Seni Budaya serta artis budaya JKKN.

Di bawah Pengembangan Seni, pihaknya turut mengadakan program pencarian bintang (Evolusi Muzik) dengan mengadakan pertandingan Antara Band yang berorientasikan kepada muzik kontemporari.

“Kita juga ada Semarak Tari yang berupa pertandingan atau dalam bentuk persembahan,” katanya.

Melalui Pembudayaan Bahasa, ujarnya, JKKN turut mengadakan pertandingan Pidato 1Malaysia yang terbuka kepada pelajar-pelajar sekolah menengah (Tingkatan Satu hingga Lima) seluruh negeri Kedah.

“Kita juga turut mengadakan Kuliah Budaya dengan menjemput tokoh-tokoh tertentu dalam bidang budaya dengan membentangkan kertas kerja dalam forum, seminar atau wacana,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan mengadakan Festival Teater Negeri yang berkonsep kepada Pertandingan Teater Peringkat Negeri Kedah di samping Festival Tari Negeri yang berbentuk pertandingan tarian yang sedia ada.

“Di bawah pengukuhan seni budaya, kita mempunyai empat aktiviti iaitu seminar kepimpinan budaya, pengiktirafan penggiat seni, himpunan badan bukan kerajaan (NGO) dan bazar seni industri budaya,” jelasnya.

Di bawah Pembangunan Produk Seni Budaya, pihaknya turut mengadakan bengkel kemahiran seni yang menjurus kepada bengkel mengayam ketupat serta bengkel perhiasan kepala iaitu menghasilkan tengkolok serta sanggul.

“Kita juga mempunyai Satu Daerah, Satu Seni, Satu Malaysia yang mana kita akan mengenal pasti tiga daerah di negeri ini yang mempunyai produk untuk dibangunkan dan dipasarkan,” katanya.

Di samping itu, pihaknya turut mengadakan program Pembangunan Produksi dan Artistik yang mana antara program yang akan dilaksanakan oleh JKKN Ibu Pejabat ialah kursus pengurusan pentas dan produksi yang melibatkan cahaya, kem teknikal penyelenggaraan audio, kursus silang kemahiran 1 bersama industri seni kreatif, bengkel silang kemahiran 2 bersama industri seni kreatif dan bengkel silang kemahiran 3 bersama industri seni kreatif.

 

Author: 
Wadiassofi Jaafar
Akhbar: 
Portal Rasmi Negeri Kedah
Publish date: 
Monday, January 14, 2013