50,000 Durian Jadi Santapan Penggemar Raja Buah Pada Pesta Durian Perak

TAIPING, 23 Julai -- Pesta Durian Perak 2011 - pesta makan durian di samping buah-buahan tempatan lain - yang berlansung di Dataran Long Jaafar di Bukt Gantang di sini mendapat sambutan yang sangat meriah daripada hampir 5,000 penggemar 'Raja Buah' itu hari ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Zainol Padzli Paharuddin berkata sehingga tengah hari tadi sebanyak 12,000 biji durian telah disediakan kepada penggemar durian yang turut datang dari luar negeri Perak.

 

"Kita anggarkan 50,000 biji durian disajikan pada pesta yang bermula pagi tadi dan sehingga esok. Sebanyak 200 penguasaha durian dan 18 peraih terlibat dalam pesta ini," katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar merasmikan Pesta Durian 2011 di Dataran Long Jaafar, Bukit Gantang di sini.

 

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan bersama-sama kerajaan negeri Perak menganjurkan pesta sehingga esok itu bagi mempromosi durian negeri Perak kepada pelancong di samping mempopularkan produk seni budaya termasuk makanan berasaskan durian yang unik dan eksotik.

 

Mereka yang hadir antara 10.30 pagi dan 1 petang pada hari ini menikmati durian secara percuma, namun selepas tempoh itu bayaran sebanyak RM9 akan dikenakan untuk makan durian sepuasnya di samping buah-buahan tempatan lain dan minuman.

 

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Noor Siah Sabri berkata selain buah durian yang dimakan begitu sahaja, hasil produk makanan tradisional yang berasaskan durian yang dihasilkan masyarakat setempat merupakan khazanah yang diketuai oleh masyarakat kini.

 

"Budaya masyarakat di negeri Perak khususnya masyarakat di kawasan Bukit Gantang ini dapat ditonjolkan dengan lebih dekat kepada pengunjung yang datang dari luar Perak," katanya.

 

Bukit Gantang merupakan antara kawasan yang sangat popular dengan duriannya di Perak seperti durian Batu Kurau dan Tapah. Bagi sesetengah penggemar durian, kelazatan rasa durian Bukit Gantang adalah berbeza dengan durian di tempat lain.

 

Seorang pelancong dari Belanda, Anthoni de Bruin, 43, berkata ini kali kedua beliau memakan buah durian dan menyifatkan buah durian itu agak 'pelik'.

 

"Rasa buah durian sangat sedap, manis dan mempunyai bau yang sangat kuat," katanya.

 

Sementara itu isterinya Rian de Bruin, 37, berkata beliau tidak makan buah-buahan tempatan Malaysia yang lain seperti manggis, tetapi telah mencuba memakan buah durian yang mana isinya manis dan 'berbau'.

 

Bagaimanapun katanya, anak-anaknya tidak 'berupaya' menjamah buah itu langsung.

 

 

 

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Monday, July 25, 2011