Temasya Pantai Timur bermula hari ini

(Pergendangan Pantai Timur yang ditampilkan pada Temasya Pantai Timur tahun lalu.)


PENDUDUK di Pantai Timur semenanjung Malaysia memang kaya dengan pelbagai tradisi dan adat budaya. Ada antaranya yang masih diamalkan hingga ke hari ini dan ada pula yang semakin dilupakan terutama oleh generasi muda.

 


Temasya gendang, aktiviti kebudayaan dan dikir barat merupakan antara seni dan budaya yang perlu terus dipertahankan.



Bagi memastikan semua terus dipertahankan dan dihayati, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang menganjurkan Temasya Pantai Timur mulai hari ini hingga 23 Oktober yang menghimpunkan pelbagai aktiviti budaya dan adat masyarakat.


 

Temasya selama tiga hari yang berlangsung di Dataran Pekan, Pahang itu melibatkan penyertaan pelbagai kaum di negeri-negeri Pantai Timur.


 

Ia turut disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bersama Kementerian Pelancongan.


 

Kira 15,000 orang dijangka hadir pada temasya akan akan turut diserikan dengan dengan penampilan istimewa watak Upin dan Ipin, Saleem, Roy Kapila dan Anis Salwa.


 

Menurut Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Pahang, Nur Ayzlinda Abu Bakar temasya itu bermatlamat menyemarakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian masyarakat di negeri-negeri Pantai Timur Malaysia


 

Ia juga katanya untuk membina produk pelancongan berteraskan seni budaya dan warisan.


 

Selain itu, temasya tersebut juga katanya diharap dapat menyerlahkan seni budaya pelbagai kaum ke arah pembentukan gagasan 1Malaysia.


 

"Ini juga merupakan usaha melahirkan bakat-bakat baru dalam bidang seni budaya dan membangunkan industri kreatif selain meningkatkan pembudayaan bahasa melalui elemen seni dan budaya," katanya.


 

Katanya, antara program yang akan diadakan ialah pergendangan Pantai Timur, perarakan budaya Pantai Timur bersama generasi muda, persembahan kesenian' dikir barat' pameran dan pertandingan mewarna, memasak dan bercerita.


 

Yang paling penting katanya, temasya itu bertujuan untuk mengangkat dan menyemarakkan kesenian dan kebudayaan masyarakat Pahangm Terengganu dan Kelantang.


 

"Ia bagi menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara sebagai mercu tanda serta ikon seni budaya Malaysia," katanya.


 

Jelasnya, hari ini juga pihaknya menganjurkan Senam Seni 1Malaysia melibatkan kira-kira 1,000 peserta yang akan diadakan di Padang Majlis Daerah Pekan.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, October 20, 2011